Bajet terhad, tayar terpakai Leona Chin tetap cemerlang

Bajet terhad, tayar terpakai Leona Chin tetap cemerlang

LEONA Chin ( atas, dua dari kanan) menamatkan saingan di tempat ketiga keseluruhan pada pusingan penutup Lotus Cup China 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Pelumba sensasi negara, Leona Chin sekali lagi membuktikan dia berada dalam kelas tersendiri apabila menamatkan saingan di tempat ketiga keseluruhan pada pusingan penutup Lotus Cup China 2025 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, Ahad lalu.

Lebih manis, Leona turut merangkul tempat ketiga dalam kelas SD pada perlumbaan 2 meskipun terpaksa beraksi dalam kekangan bajet serta menggunakan tayar terpakai daripada perlumbaan 1.

Ia satu cabaran besar berbanding kebanyakan pelumba lain yang turun dengan tayar baharu namun Leona masih mampu meraih dua podium di Sepang.

AKSI Leona dalam perlumbaan di Litar Sepang, Ahad lalu.

Berdepan barisan pelumba antarabangsa dari China, Singapura, United Kingdom dan Kanada, Leona tetap menunjukkan rentak konsisten sepanjang 21 pusingan perlumbaan dan mencatat masa terbaik 2 jam 26 minit 877 saat sekali gus memastikan podium yang cukup bermakna buat dirinya dan pasukan.

“Podium kali ini sangat istimewa kerana ia bukan hujung minggu yang mudah. Dengan tajaan yang terhad, kami terpaksa berjimat dan menggunakan semula tayar lama sedangkan ramai pesaing menggunakan set baharu.

“Tetapi saya tidak mampu lakukan semua ini tanpa pasukan saya ‘pitstop’ mereka sempurna dan sokongan mereka membuatkan saya terus berjuang hingga ke garisan penamat,” kata Leona.

Persembahan bertenaga Leona itu sekali lagi menonjolkan ketahanannya sebagai pelumba, kemahiran teknikal serta kemampuan untuk bersaing pada tahap tinggi walaupun berdepan kekangan logistik dan sumber.

Pusingan Sepang itu merupakan perlumbaan terakhir musim 2025 Lotus Cup China, yang menarik penyertaan pasukan dan pelumba kompetitif dari rantau Asia dan luar negara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN