Aaron-Wooi Yik lepasi halangan awal, Wei Chong-Kai Wun tumpas

Aaron-Wooi Yik lepasi halangan awal, Wei Chong-Kai Wun tumpas

AARON Chia-Soh Wooi Yik berjaya mengatasi Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri dari Indonesia dalam aksi Kumpulan B Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) di Hangzhou, China, hari ini.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beregu lelaki No. 1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya mengatasi badi kekalahan selepas membenam Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri dari Indonesia dalam aksi Kumpulan B pada Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) di Hangzhou, China, hari ini.

Gandingan No. 2 dunia itu, bagaimanapun, dipaksa berhempas pulas selama 1 jam 23 minit sebelum mengukir kemenangan 22-24, 21-18, 21-19 ke atas Fajar-Fikri yang menghuni ranking No. 8 dunia itu.

Kemenangan tersebut juga membuka laluan kepada Aaron-Wooi Yik merapatkan jurang rekod pertemuan kepada 1-2.

Esok, mereka bakal berdepan beregu tuan rumah, Liang Wei Keng-Wang Chang dalam aksi kedua, sebelum mengakhiri pertemuan peringkat kumpulan bertemu pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty.

Wooi Yik ketika ditemu bual selepas perlawanan berakhir berkata, bertemu beregu dari negara tetangga itu benar-benar menguji mentaliti mereka.

“Kami perlu fokus, mujur kami berjaya bangkit dan mengheret lawan sehingga ke set ketiga. Kami berusaha bermain secara konsisten, perlu sabar dan elak melakukan kesilapan,” katanya kepada wakil Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Aaron pula yang kehilangan suaranya kerana kurang sihat berkata, amat penting untuk mereka percaya dan fokus kepada diri sendiri.

Sementara itu, dalam saingan Kumpulan A, nasib berbeza menimpa satu lagi beregu Malaysia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang tumpas buat kesekian kali ditangan beregu Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani 21-23, 21-19 dalam masa 43 minit.

Kekalahan tersebut menyaksikan rekod pertemuan Wei Chong-Kai Wun dengan beregu No. 10 dunia itu semakin melebar kepada 1-5.

Esok, Wei Chong-Kai Wun yang menghuni ranking No. 4 dunia bakal menghitung pertemuan dengan pasangan ke-16 dunia, Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi Lin dari Taiwan.

Dalam perlawanan penutup peringkat kumpulan, Wei Chong-Kai Wun akan berdepan laluan lebih getir apabila dijadual menentang beregu No. 1 dunia, Kim Won Ho-Seo Seung Jae dari Korea Selatan pada Jumaat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN