KUALA LUMPUR: Seramai 200 graduan berjaya melengkapkan Program Diploma Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu atau Recognition of Prior Experiential Learning (RPEL) pada Majlis Graduasi Kali Keenam Kuala Lumpur Business & TVET Institute (KLTVET).
Majlis itu turut mencatat penyertaan bermakna apabila seramai 15 daripada 40 graduan Orang Kurang Upaya (OKU) cacat penglihatan hadir dan diraikan bersama graduan lain di Auditorium Tun Dr. Siti Hasmah, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), hari ini.
Presiden Majlis Integrasi Pendidikan Negara (MIPN) dan Presiden KLTVET, Prof. Is. Dr. Zam@ Ab Razak Zamri berkata, KLTVET kini menawarkan 150 bidang pengiktirafan merangkumi bidang akademik dan kemahiran sejajar keperluan industri semasa dan masa hadapan.
Menurut beliau, sejak ditubuhkan pada 2022, KLTVET berjaya melahirkan lebih 1,200 penerima pengiktirafan terdiri daripada usahawan, pekerja berkemahiran, pemilik syarikat, pesara serta golongan OKU.
“KLTVET turut melakar pencapaian di peringkat antarabangsa menerusi kerjasama dengan European Education Board yang diiktiraf oleh Daftar Penyedia Pembelajaran United Kingdom (UK), sekali gus membuktikan kualiti, integriti dan kebolehterimaan global institusi ini.
“Kini, KLTVET beroperasi di bawah kelolaan Majlis Integrasi Pendidikan Negara selaras aspirasi menyatukan pendidikan akademik dan TVET dalam satu ekosistem yang inklusif, progresif dan berorientasikan industri,” katanya kepada pemberita selepas majlis graduasi itu.
Beliau berkata, penganugerahan Diploma RPEL membuktikan pembelajaran tidak hanya berlaku di bilik kuliah, sebaliknya turut diperoleh melalui pengalaman kerja, kemahiran praktikal, keusahawanan, kepimpinan dan pembelajaran sepanjang hayat.
“RPEL mempunyai sejarah kukuh di Eropah dan UK sebagai kaedah rasmi mengiktiraf pengalaman kerja dan pembelajaran tidak formal sebagai kelayakan akademik.
“Di negara-negara tersebut, RPEL menjadi jambatan antara dunia industri dan akademik, sekali gus membuka peluang peningkatan kerjaya, mobiliti pendidikan dan pengiktirafan profesional.
“Selaras dengan amalan terbaik antarabangsa itu, KLTVET membawa pendekatan RPEL ke Malaysia bagi memperkasakan bakat tempatan khususnya dalam bidang TVET dan akademik,” ujarnya.
Zam berkata, kelebihan utama Diploma RPEL KLTVET ialah kebolehterimaan tinggi dalam industri memandangkan graduannya memiliki pengalaman dan kepakaran sebenar dalam bidang masing-masing.
“Mereka bukan graduan tanpa pengalaman, sebaliknya profesional, usahawan, pekerja berkemahiran dan pemimpin komuniti yang telah terbukti keupayaannya di lapangan.
“Selain itu, Diploma RPEL turut membuka laluan pendidikan ke peringkat lebih tinggi, antaranya peluang melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di Alzette University tertakluk kepada syarat tertentu.
“Graduan juga berpeluang menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan bersama Universiti Malaya-Wales secara Pembelajaran Terbuka dan Jarak Jauh (ODL) yang mendapat akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA),” ujarnya.
Ujarnya, laluan RPEL bukan laluan kelas kedua, sebaliknya alternatif setara, fleksibel dan relevan dengan keperluan industri serta akademik.
“TVET dan akademik bukan dua laluan berasingan, tetapi saling melengkapi. Melalui RPEL, pengalaman, kemahiran dan ilmu dapat disepadukan bagi melahirkan modal insan holistik, berdaya saing dan relevan di peringkat global,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden MIPN dan Majlis Pemerkasaan Perniagaan Malaysia (MPPM), Prof Madya Ts Is Dr Zulkifli Ab Rashid berkata, konsep RPEL telah lama diperkenalkan di Eropah, namun di Malaysia ia masih dalam fasa perkembangan.
“Alhamdulillah, KLTVET merupakan antara institusi perintis yang mempelopori pelaksanaan RPEL ini.
“Terkini, KLTVET telah mengadakan perbincangan dengan Universiti Malaya-Wales, di mana Graduan RPEL yang memenuhi syarat yang ditetapkan layak untuk menyambung pengajian ke Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Perniagaan Antarabangsa secara ODL.
“Program Ijazah Sarjana Muda di Universiti Malaysia-Wales ini adalah berakreditasi penuh oleh MQA dan ini merupakan antara pencapaian tertinggi KLTVET setakat ini.
“Kami berharap lebih banyak institusi pengajian tinggi akan tampil untuk bekerjasama dengan KLTVET dalam membuka lebih banyak laluan pendidikan alternatif,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, walaupun program RPEL di KLTVET tidak berada di bawah MQA, namun ia diiktiraf oleh industri dan badan antarabangsa, sejajar dengan amalan di Eropah dan UK sejak 90-an.
“KLTVET juga merupakan Pusat Penilaian Amali (PPA) yang berdaftar dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) membolehkan penilaian dijalankan secara portfolio dan amali.
“Kami berharap masyarakat akan lebih terbuka dan memahami bahawa pendidikan tidak hanya terhad kepada laluan akademik konvensional.
“TVET dan akademik adalah saling melengkapi dan pengiktirafan pengalaman kerja merupakan satu pendekatan moden yang telah lama diamalkan di negara maju,” katanya. – UTUSAN










