PETALING JAYA: Kehangatan musim cuti persekolahan dimanfaatkan sepenuhnya oleh warga Kota Damansara apabila kira-kira 2,000 pengunjung membanjiri Karnival Gugusan Seroja yang berlangsung meriah pada Sabtu lalu.
Penganjuran julung kali oleh Perbadanan Pengurusan Gugusan Seroja itu dirangka khusus sebagai platform penyatuan komuniti menerusi aktiviti sukan dan sosial yang berkonsepkan gaya hidup sihat.
Acara futsal menjadi tumpuan utama karnival apabila mendapat sambutan luar biasa terutamanya daripada golongan kanak-kanak, sekali gus memberi pendedahan awal bakat sukan di peringkat akar umbi.
Suasana bertambah gamat dengan sorakan penduduk setempat menerusi acara tarik tali yang menyaksikan penyertaan golongan belia, disusuli dengan penganjuran sukaneka serta pertandingan mewarna.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, Muhammad Izuan Mohd. Kasim yang merasmikan karnival itu memuji inisiatif berkenaan yang disifatkan berjaya mengukuhkan hubungan kejiranan.
“Tahniah kepada seluruh jawatankuasa kerana mengadakan karnival buat kali pertama. Saya rasa ini program cukup baik, bukan sahaja tertumpu kepada kanak-kanak tetapi juga orang dewasa.
“Saya percaya program sebegini dapat membentuk ukhuwah yang sangat baik pada masa akan datang, selain kerjasama Pejabat DUN yang membantu membawa aspek kesihatan dan saringan kesejahteraan penduduk,” katanya.
Selain aktiviti fizikal, karnival yang turut mendapat sokongan Pejabat Parlimen Sungai Buloh itu diserikan dengan tarikan petting zoo dan supa dupa, di samping penyediaan saringan kesihatan percuma oleh National Cancer Society Malaysia (NCSM) termasuk pemeriksaan PeKa B40 dan saringan kanser.
Program itu turut memberi impak ekonomi menerusi pembukaan lebih 20 gerai jualan usahawan tempatan serta penganjuran Jualan Rahmah yang menjadi tumpuan pengunjung. – UTUSAN










