DUA tahun kelibat pelakon jelita, Zahirah Macwilson tidak muncul di kaca televisyen, kali terakhir adalah menerusi drama Secarik Kasih Mama dan Metro Crime Series. Mengurus keluarga dan menjaga anak kedua, Inara Raisa, yang baru dilahirkan tahun lalu menjadi keutamaan buat wanita berusia 30 tahun itu.
Bagaimanapun, kalau namanya sudah anak seni, tidak pernah sekalipun dia melupakan bidang lakonan selama hiatus. Sesekali membuak juga kerinduan untuk hadir ke set penggambaran.
Kini, Inara sudah pun berusia lebih setahun. Zahirah yakin ini adalah masa yang sesuai untuknya kembali kepada bidang lakonan dengan membintangi karakter Dahlia dalam Good Boys Go To Heaven terbitan Astro Originals.
Sebelum kembali berlakon, Zahirah yang juga isteri kepada pelakon, Aiman Hakim Ridza, mengakui sudah melakukan persediaan mental di samping mengupah seorang pembantu untuk menguruskan anaknya selama dia bekerja.
“Saya fikir juga, tidak bolehlah lepas bersalin terus masuk set penggambaran. Kita kena pastikan mental sudah bersedia begitu juga dengan anak. Saya tidak mahu hati tidak senang kerana terfikir-fikir anak di rumah ketika sedang bekerja.
“Sekarang anak kedua saya sudah boleh makan dan tidur dengan senang. Jadi saya boleh ‘lepaskan’ dia sikit dengan bantuan pembantu. Selain itu, saya dan suami juga bergilir-gilir jaga dia selepas habis penggambaran.
“Sekarang ini saya kerja, Aiman sedang jaga anak-anak di rumah. Bila dia ada penggambaran pula untuk projek mana-mana, saya akan ambil giliran jaga,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bercakap tentang kerjaya lakonan, Zahirah mengakui terpaksa menolak banyak tawaran lakonan dalam tempoh dua tahun ini. Bagaimanapun, pelakon itu yakin selalu akan ada rezeki yang lebih baik akan datang lebih-lebih lagi kerana dia mengutamakan keluarga.
“Kadang-kadang kita kena berkorban, pada saya senang sahaja, kalau ada rezeki makan adalah. Mungkin terpaksa lepaskan yang satu ini sebab ada lebih baik yang menanti.
“Tapi saya dan Aiman fikir anak-anak kami masih sangat kecil. Kalau saya tidak buat kerja penggambaran, saya masih ada kerja buat kandungan media sosial untuk mana-mana jenama. Bukanlah tidak bekerja langsung,” jelasnya.
10 TAHUN
Sedekad dalam industri seni, Zahirah bagaimanapun merasakan naskhah lakonannya sudah tidak boleh lagi kelihatan sama dengan sebelum ini.
“Saya mempunyai banyak pengalaman berlakon cerita cinta dalam drama arus perdana.
“Walaupun saya suka, saya perlu berundur dan mencari watak lain untuk cabar diri bagi mengembangkan karakter sebagai pelakon. Saya akui sekarang lebih memilih cuma tiada apa-apa yang khusus.
“Tapi saya akan pertimbangkan skrip dan karakter, tak nak lah skrip sudah bagus contohnya isu pemerangan orang tapi kena berlakon sebagai pelacur. Saya akan elak sebab tak nak watak yang boleh dinilai negatif oleh masyarakat,” katanya lagi.
MENANGIS KERANA ‘DAHLIA’
Berkongsi pengalaman bercerita tentang projek terbaharunya bersama Astro Originals, Zahirah mengakui tidak dapat menahan sebak setiap kali membaca skrip drama tersebut.
“Kali pertama mensyuarat bersama pengarah, Ariff Zulkarnain, saya sudah menangis sebab cerita ini menyentuh hati saya sebagai seorang ibu. Elemen antara ibu dan anak membuatkan saya setuju untuk kembali ke dalam industri dan berlakon dalam projek ini.
“Saya tidak boleh nak dedahkan jalan cerita tapi ada unsur suspens dan psiko thriller. Tapi karakter Dahlia akan banyak bermain dengan emosi seorang ibu dan masalah kesihatan mental. Saya juga banyak belajar di set penggambaran,” katanya yang menjadikan lakonan Julia Roberts, Sandra Bullock, Charlize Theron sebagai rujukan.
Drama tersebut bakal menemui penonton bermula tahun hadapan.-UTUSAN










