PETALING JAYA: Hubungan cinta pempengaruh, Ameera Khan bersama pelakon popular Indonesia, Jefri Nichol didakwa sudah menemui titik noktah.
Status percintaan mereka sekali lagi menjadi tumpuan apabila masing-masing sudah tidak lagi mengikuti akaun media sosial.
Lebih menguatkan lagi dakwaan itu apabila semua foto bersama sudah dipadam di akaun Instagram mereka berdua.
Bagaimanapun, tidak ada sebarang perkongsian dimuat naik pasangan itu sebagai petunjuk mengesahkan keadaan hubungan mereka.
Ini kali kedua hubungan mereka dikhabarkan retak. Sebelum ini hal serupa terjadi pada April lalu namun mereka kembali berdamai sehari selepas itu.
Ketika itu Jefri dilihat memuat naik foto Ameera atau Nur Ameera Abdul Halim Khan, 25, dengan komen ‘inilah gambar yang akan saya bawa ke medan perang’.
Jefri dan Ameera sebelum ini secara terbuka berkongsi hubungan masing-masing malah pelakon Ali Topan itu juga mengakui mempunyai hasrat untuk menyunting Ameera sebagai isteri. -UTUSAN










