PETALING JAYA: Sebuah set tren Komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dilaporkan terlajak ke hujung landasan di Platform 4, Stesen Butterworth, Pulau Pinang dalam satu insiden awal kira-kira pukul 6.01 pagi tadi.
Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan kerana tren berkenaan merupakan set kosong tanpa penumpang dan sedang dalam pergerakan operasi harian.
KTMB dalam kenyataan mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan bahawa Platform 4 di stesen tersebut telah ditutup buat sementara waktu bagi membolehkan kerja-kerja baik pulih dan pemeriksaan keselamatan dilaksanakan.
Menurut KTMB, pasukan teknikal syarikat telah tiba di lokasi sejurus selepas kejadian dan kerja-kerja pengalihan set tren sedang giat dijalankan bagi memastikan keselamatan kawasan serta kelancaran operasi di stesen.
“Semua operasi tren penumpang di Stesen Butterworth beroperasi seperti biasa, melalui Platform 1, 2 dan 3,” katanya.
Pihak KTMB turut menasihatkan para penumpang di Stesen Butterworth untuk mematuhi segala arahan keselamatan yang diberikan oleh kakitangan stesen demi memastikan kelancaran pergerakan dan keselamatan semua pihak.
Siasatan lanjut sedang dijalankan oleh KTMB bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Syarikat tersebut memberi jaminan bahawa keselamatan operasi dan pengguna sentiasa menjadi keutamaan dan langkah-langkah sedang diambil bagi memastikan perkhidmatan tren terus berjalan lancar seperti biasa. – UTUSAN










