Syarikat pembinaan didenda RM5,000 biar Aedes membiak di premis

Syarikat pembinaan didenda RM5,000 biar Aedes membiak di premis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebuah syarikat pembinaan didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Klang semalam selepas mengaku bersalah atas pertuduhan membiarkan larva nyamuk Aedes membiak di premis miliknya, tahun lalu.

Tertuduh, syarikat Wasal Construction Sdn. Bhd., mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nor Azilah Mat.

Mengikut pertuduhan, syarikat tersebut selaku orang kena saman (OKS) didapati membiarkan pembiakan larva nyamuk Aedes albopictus di beberapa takungan berisi air termasuk tong air, baldi cat dan tong cat di premisnya yang terletak di Bandar Puteri 2, Klang.

Kesalahan dilakukan pada 27 Februari 2024 sekitar pukul 11 pagi.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 13(1) dibaca bersama Seksyen 13(2) Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (Pindaan 2000) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 23(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa daripada Pejabat Kesihatan Daerah Gombak, Suk Thamma Eh Sau manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ketika prosiding, Suk Thamma berkata, kes denggi di Selangor masih berada pada tahap membimbangkan dan boleh membawa maut.

Beliau berkata, pemilik premis bertanggungjawab memastikan kawasan dalam dan luar bangunan sentiasa bersih serta bebas daripada takungan air bagi mengelakkan pembiakan jentik-jentik Aedes.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau penjara dua bulan jika gagal membayar denda berkenaan. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN