KUALA LUMPUR: Amalan work-life balance nyata membuahkan hasil apabila pasukan futsal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor muncul juara kejohanan Piala Ketua Pesuruhjaya, KSR Arena Series 2025 pada tahun ini.
Kejohanan yang berlangsung di IWK Eco Park, Pantai Dalam semalam menyaksikan Aliff Irfan dari pasukan Selangor A dinobatkan sebagai pemain paling bernilai (MVP).
Selain itu, pasukan SPRM Selangor turut membawa pulang gelaran pasukan dengan jersi terbaik, sekaligus merangkul kesemua hadiah yang dipertandingkan.
Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli berkata, kejayaan itu bukti amalan work-life balance mampu memberi impak positif kepada prestasi anggota dan pegawai.
Katanya, kejohanan bukan sahaja memupuk semangat berpasukan malah mengalakkan kesihatan fizikal dan mental anggota SPRM.
“Kejayaan pasukan Selangor juga membuktikan bahawa penglibatan dalam aktiviti sukan mampu meningkatkan motivasi dan kerjasama dalam kalangan anggota, seterusnya memperkukuhkan lagi budaya kerja yang positif di SPRM,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sementara itu, bagi acara bola jaring, pasukan Bee-One-Derful dari Bahagian Siasatan, SPRM muncul juara.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus berkata, aktiviti sukan seperti bola jaring mampu meningkatkan fokus, disiplin, dan kerjasama di kalangan pegawai SPRM, selain mengeratkan hubungan antara rakan sekerja.
Zainul menekankan, penglibatan dalam sukan amat penting, terutama bagi pegawai bahagian siasatan yang sentiasa bersedia menjalankan tugasan operasi sepanjang masa.
“Sukan memberi peluang kepada pegawai untuk menyeimbangkan kehidupan kerja serta menjaga kesejahteraan diri,” katanya. – UTUSAN









