Sistem tol tanpa palang guna ANPR kini di peringkat RFP 

Sistem tol tanpa palang guna ANPR kini di peringkat RFP 

ALEXANDER Nanta Linggi (tengah) ketika mengadakan lawatan tapak di projek pembaikan cerun di laluan FT006 Seksyen 40.84 Jalan Balik Pulau-Teluk Bahang, Pulau Pinang hari ini. - UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Projek sistem pembayaran terbuka tol menggunakan teknologi Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR) yang disokong platform digital bersepadu kini berada di peringkat Request for Proposal (RFP).

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kementeriannya kini membuka peluang kepada mana-mana pihak berminat untuk mengemukakan cadangan bagi pelaksanaan sistem tol tanpa palang itu.

“Kami mengamalkan sistem RFP. Jadi, kami juga gunakan kaedah business to business. Sekarang, kami masih buka kepada pihak yang berminat dan menerima pelbagai cadangan daripada mereka,” katanya selepas mengadakan lawatan tapak di projek pembaikan cerun di laluan FT006 Seksyen 40.84 Jalan Balik Pulau-Teluk Bahang di sini, hari ini.

Sistem ANPR mengenal pasti nombor pendaftaran kenderaan melalui kamera dan membolehkan bayaran tol dibuat secara digital tanpa tunai, selain menyediakan paparan e-invois, semakan transaksi dan pelbagai perkhidmatan mobiliti lain melalui satu platform digital bersepadu.

Menerusi sistem itu, pengguna hanya perlu mendaftar secara dalam talian menggunakan maklumat pengenalan diri, kenderaan dan kaedah pembayaran.

Mengulas lanjut, Alexander berkata, tempoh penilaian akan mengambil sedikit masa kerana setiap cadangan perlu diteliti dengan mendalam sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Kami ada timeline beberapa bulan lagi baru boleh perhalusi kerana banyak perkara perlu diteliti. Banyak sistem dikemukakan dan kami mahu cari yang terbaik,” jelas beliau.

Alexander berkata, kajian rapi turut dilakukan dengan meninjau pelaksanaan sistem pengangkutan pintar iaitu Intelligent Transport System atau ITS di beberapa negara maju.

“Saya baru pulang dari Korea bersama wakil JKR dan Kementerian Kerja Raya (KKR) dan kami juga sudah beberapa kali meninjau ke negara lain untuk melihat bagaimana mereka melaksanakan ITS,” ujarnya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai jangkaan pelaksanaan sistem tol tanpa palang itu, beliau menjelaskan bahawa ia dijangka dapat dimuktamadkan tahun depan.

“Sekarang, sudah hujung tahun. Jadi, mestilah masuk tahun depan,” katanya yang menegaskan, KKR tidak mahu terburu-buru dalam membuat keputusan kerana pelaksanaan sistem ini memberi implikasi besar kepada pelbagai pihak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN