KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sedang menaik taraf sistem pemprosesan data seismik bagi mempercepat pengeluaran maklumat gempa bumi dan amaran awal tsunami kepada enam minit menjelang tahun 2026.
Pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), METMalaysia juga akan menaik taraf instrumentasi pemantauan seismik di 12 stesen seismik di seluruh negara.
Katanya, pada masa ini, MetMalaysia mengendalikan 80 stesen seismik di seluruh negara yang disokong oleh 323 stesen antarabangsa.
“Maklumat gempa bumi dan amaran awal tsunami dikeluarkan dalam tempoh lapan minit selepas pengesanan bagi kejadian melebihi magnitud 3.0.
“Berhubung aspek amaran awal, gempa bumi tidak dapat diramalkan. Namun, kejadian tsunami boleh dikesan dan diunjurkan sejurus selepas berlakunya gempa bumi di dasar laut,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS–Sri Aman) mengenai langkah kesiapsiagaan negara berikutan beberapa gempa bumi kecil di Johor termasuk aspek pemetaan sesar, kod bangunan dan sistem amaran awal.
Menurut Johari, kementerian melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) telah melaksanakan projek pemetaan sesar aktif dari 2016 hingga 2020.
Beliau berkata, berdasarkan kajian geologi itu, sebanyak 11 Zon Sesar telah dipetakan di Malaysia melibatkan Semenanjung, Sarawak dan Sabah.
Katanya, antara zon sesar tersebut ialah Sesar Bukit Tinggi, Sesar Bokbak, Sesar Terengganu, Sesar Banding, Sesar Kuala Pilah, Sesar Mersing, Sesar Tubau, Sesar Lobou-Lobou, Sesar Mensaban, Sesar Lahad Datu dan Sesar Tabin.
“JMG turut memasang enam Stesen Penanda Aras Pergerakan Sesar (PAPS) aktif di Sabah dan 47 stesen PAPS pasif di tujuh negeri termasuk Pahang, Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Sarawak dan Sabah.
“JMG juga bercadang memperluas liputan pemetaan sesar aktif dan pemasangan PAPS ke kawasan lain yang berisiko gempa bumi termasuk Johor,” katanya.
Tambah beliau, hasil kajian geologi tektonik dan Peta Bahaya Seismik yang dihasilkan JMG menjadi rujukan penting kepada pihak berkuasa tempatan dan jurutera dalam perancangan pembangunan.
“Kementerian menyarankan agar input peta tersebut digunakan dalam reka bentuk bangunan tahan gempa selaras dengan standard Malaysia National Annex kepada Eurocode 8,” katanya. – UTUSAN










