MILAN: AC Milan kembali menguasai pentas Serie A selepas menumpaskan seteru setempat, Inter Milan, 1-0 dalam pertembungan penuh emosi di San Siro awal pagi tadi.
Christian Pulisic muncul watak utama Rossoneri apabila meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-54 selepas penyerang kebangsaan Amerika Syarikat itu menyambar bola muntah hasil percubaan Alexis Saelemaekers yang gagal ditangkap kemas oleh Yann Sommer yang merupakan satu-satunya peluang benar-benar berbahaya yang dihasilkan Milan dalam aksi berintensiti tinggi itu.
Kejayaan Milan turut disandar kepada ketangkasan penjaga gol, Mike Maignan, yang menjadi benteng terakhir ampuh selepas menepis sepakan penalti Hakan Calhanoglu pada minit ke-74 dan sebelum itu menggagalkan percubaan maut Lautaro Martinez yang hanya singgah di tiang.
Inter yang mengasak tanpa henti buntu mencari jaringan, termasuk tandukan kencang Francesco Acerbi yang sekadar menggegar palang.
Kekalahan itu menyebabkan Nerazzurri tergelincir ke tangga keempat, satu mata di belakang Milan dan Napoli.-AGENSI








