KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (PSB) menetapkan tiga kategori projek di bawah Seksyen 16 sebagai mekanisme pemulihan pembangunan terbengkalai di seluruh negara.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, tiga kategori itu ialah Projek Penyegaran Semula Bandar, Projek Penjanaan Semula Bandar dan Projek Pembangunan Semula Bandar.
Menurutnya, ketiga-tiga projek berkenaan membolehkan kerja membaik pulih, menaik taraf dan menyiapkan semula infrastruktur serta utiliti dilaksanakan pada bangunan atau kawasan yang terhenti pembangunannya.
Beliau berkata, peruntukan tersebut juga membolehkan isu tanah yang menghalang kemajuan projek diselesaikan melalui proses perundangan yang lebih teratur.
Katanya, mekanisme berkenaan digubal khusus untuk memastikan projek terbengkalai dapat disambung semula sehingga siap tanpa perlu melalui proses yang berlarutan.
“Menerusi persetujuan semua pemilik, pembangunan boleh diteruskan sehingga bangunan disiapkan sepenuhnya,” katanya.
Beliau menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang memintanya menyatakan bagaimana Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) dapat membantu mengatasi masalah projek perumahan terbengkalai di seluruh negara.
Katanya, langkah itu penting bagi melindungi hak pemilik rumah yang terjejas akibat projek gagal disiapkan oleh pemaju.
“Peruntukan Seksyen 16 memberi laluan jelas kepada kerajaan dan pihak berkaitan untuk memulihkan projek secara lebih cepat, telus dan menyeluruh,” jelasnya. – UTUSAN










