Projek penyuraian trafik pemangkin pertumbuhan ekonomi baharu di Seberang Perai

Projek penyuraian trafik pemangkin pertumbuhan ekonomi baharu di Seberang Perai

ANWAR Ibrahim (tengah) berbual bersama Chow Kon Yeow (kiri) pada majlis pecah tanah projek penyuraian trafik Juru-Sungai Dua di tapak ekspo Seberang Jaya, Pulau Pinang, hari ini. - UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Projek penyuraian trafik Juru-Sungai Dua dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi baharu di Seberang Perai khususnya di kawasan Bukit Minyak, Juru dan Sungai Dua itu sendiri.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, situasi itu sekali gus akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan, merancakkan aktiviti ekonomi serta meningkatkan kualiti hidup rakyat setempat.

“Hari ini kita mencipta sejarah baharu dengan berlangsungnya majlis pecah tanah untuk projek ini iaitu sebuah projek berimpak tinggi yang amat dinantikan oleh rakyat Pulau Pinang.

“Projek ini bukan sekadar infrastruktur semata-mata, tetapi merupakan projek rakyat yang bertujuan menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas yang telah lama dihadapi oleh pengguna lebuh raya di samping meningkatkan keselamatan jalan raya dan kecekapan logistik di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pecah tanah projek tersebut yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di tapak ekspo Seberang Jaya di sini, hari ini.

Dengan menelan kos sebanyak RM3 bilion, projek itu akan dibiayai secara hidrid iaitu 60 peratus melalui peruntukan kerajaan manakala baki 40 peratus lagi menerusi Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (PLUS Berhad).

Tempoh pembinaannya pula dijangka mengambil masa sehingga 48 bulan dengan kerja fizikal bagi Pakej 1 dijadual bermula bulan ini juga manakala pakej-pakej lain dijangka bermula pertengahan bulan depan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang pertengahan tahun 2030 nanti.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri akan terus memberi komitmen penuh dalam aspek perancangan, penyelarasan serta kelulusan teknikal agar projek berkenaan dapat dilaksanakan dengan cekap, selamat serta menepati jadual.

“Visi kita jelas iaitu bukan sekadar membina lebih banyak jalan, tetapi membina jalan yang lebih ‘pintar’, bukan hanya mempercepat perjalanan, tetapi memastikan akses yang lebih saksama untuk semua,” kata beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN