Piala FA: Selangor FC, Sabah FC terikat 2-2

Piala FA: Selangor FC, Sabah FC terikat 2-2

PEMAIN Tengah Selangor FC, Nooa Laine berjaya melepasi pemain Sabah pada aksi separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Likas, malam ini.-IHSAN SELANGOR FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selangor FC(SFC) sekali lagi berdepan detik mengecewakan apabila gagal mengekalkan kelebihan dan terpaksa akur dengan keputusan seri 2-2 menentang Sabah FC pada aksi separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Likas, sebentar tadi.

Keputusan itu sekali gus menambah tekanan terhadap skuad kendalian Christophe Gamel, selepas prestasi hambar mereka dalam saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) yang mengundang kemarahan penyokong setia Gergasi Merah..

Tuan rumah bermula garang apabila hanya memerlukan 13 minit untuk membuka jaringan menerusi penyudah penyerang import, Ajdin Mujagic, yang menolak masuk bola hantaran lintang rakan sepasukan bagi meletakkan Sabah di hadapan 1-0 sehingga tamat separuh masa pertama.

Percaturan Gamel membawa masuk Fazly Mazlan pada babak kedua nyata menjadi apabila hantarannya terkena pemain pertahanan Sabah, Dane Ingham, yang menyebabkan bola menerjah gawang sendiri untuk gol penyamaan pelawat.

Gol itu membakar semangat Selangor untuk menggandakan asakan dan hasilnya, Nooa Laine menanduk masuk hantaran Faisal Halim pada minit ke-80 untuk meletakkan pelawat di depan 2-1.

Namun, kegembiraan Gergasi Merah tidak kekal lama apabila Mujagic sekali lagi menjadi pemusnah harapan Selangor selepas memanfaatkan peluang di depan gol pada masa kecederaan untuk memastikan keputusan berakhir 2-2.

Kedua-dua pasukan kini akan menentu pasukan mana akan ke final pada aksi timbal balik di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 30 November ini, dengan peluang masih terbuka buat Sabah dan Selangor.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN