Perbandingan model lantikan kehakiman dikaji

Perbandingan model lantikan kehakiman dikaji

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang menjalankan kajian perbandingan berasaskan bukti terhadap model pelantikan kehakiman di negara lain seperti United Kingdom (UK), Singapura, Australia dan India.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, inisiatif itu dilaksanakan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri.

“Kajian ini dijalankan secara menyeluruh melalui sesi libat urus bersama pelbagai pihak termasuk Badan Kehakiman, Majlis Peguam, ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, institusi pengajian tinggi, pakar Perlembagaan Persekutuan, badan masyarakat sivil serta turut melibatkan pandangan awam.

“Pendekatan inklusif ini bertujuan memastikan proses pelantikan hakim dilaksanakan dengan lebih telus, bebas dan selari dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen.

Beliau menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH–Pasir Gudang) sama ada kerajaan bercadang meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mereformasi institusi kehakiman dalam aspek pelantikan Ketua Hakim dan Hakim-Hakim Kanan supaya tidak berulang kekecohan pelantikan Ketua Hakim Negara pada Julai 2025.

Azalina berkata, kerajaan turut menegaskan komitmen terhadap prinsip pemisahan kuasa antara legislatif, eksekutif dan kehakiman.

Langkah itu bagi memastikan pelantikan ke jawatan penting negara termasuk hakim mahkamah atasan, dibuat selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang berkuatkuasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN