PARLIMEN: KPM peruntuk RM125 juta tambah 350 kelas prasekolah 

PARLIMEN: KPM peruntuk RM125 juta tambah 350 kelas prasekolah 

WONG KAH WOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) menyasarkan untuk menambah 350 kelas prasekolah di seluruh negara tahun depan, dengan peruntukan sebanyak RM125 juta, sebagai persiapan menjadikan pendidikan prasekolah wajib menjelang 2030.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, jumlah itu meningkat berbanding 150 kelas prasekolah yang dibuka tahun ini, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman. 

Penambahan melibatkan baik pulih dan pengubahsuaian kelas sedia ada serta penyediaan peralatan yang bersesuaian.

Menurut Kah Woh, setakat ini terdapat 10,197 kelas prasekolah di seluruh negara, termasuk 6,368 institusi di bawah KPM. 

Daripada jumlah tersebut, 3,222 (50.6 peratus) berada di bandar, manakala 3,146 (49.4 peratus) di luar bandar dan pedalaman.

“KPM sentiasa komited untuk memastikan setiap kanak-kanak mendapat akses kepada pendidikan prasekolah. Usaha ini sebahagian daripada agenda Reformasi Pendidikan KPM untuk memperluas peluang pendidikan awal kepada semua kanak-kanak,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan asal Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) mengenai usaha KPM memastikan capaian pendidikan prasekolah berkualiti, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Beliau menjelaskan, peluasan kelas prasekolah dijalankan bukan sahaja di sekolah rendah, malah di sekolah menengah serta premis institusi pendidikan KPM yang mempunyai kemudahan sesuai seperti kolej vokasional (KV) dan kampus Institut Pendidikan Guru (IPG).

“Bagi kelas yang memerlukan pembinaan baharu, ia dilaksanakan berdasarkan faktor keperluan, kesediaan tapak, kesesuaian lokasi, jarak dengan sekolah berdekatan serta kepadatan sekolah sedia ada,” katanya.

Kah Woh berkata, KPM menggunakan Standard Kualiti Prasekolah Kebangsaan (SKPK) untuk memantau aspek pengajaran dan pembelajaran (PdP), kepimpinan, pengurusan sekolah serta kemudahan fizikal. 

Pemantauan merangkumi operasi sekolah, PdP dan bimbingan kepada guru serta pentadbir sekolah.

“Pemantauan dilakukan secara sistematik, terukur dan konsisten, bagi meningkatkan kualiti pengajaran serta persekitaran pembelajaran murid prasekolah,” katanya.

Menjawab soalan tambahan mengenai pelaksanaan pendidikan prasekolah wajib serta penyelarasan dengan tadika di bawah kementerian lain, Kah Woh menjelaskan, KPM perlu memastikan fasiliti dan akses mencukupi, serta memberi fokus kepada peluasan kelas prasekolah terlebih dahulu.

“KPM juga menyelaraskan tadika di bawah kementerian lain yang berdaftar dengan KPM dan sentiasa bekerjasama dengan tadika swasta. 

“Apa yang masih belum dijalankan secara menyeluruh adalah kerjasama dengan PASTI (Pusat Asuhan Tunas Islam), walaupun beberapa sesi libat urus telah diadakan sebelum ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN