KUALA LUMPUR: Selepas berehat hampir dua bulan akibat kecederaan, beregu campuran negara Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin kembali ke gelanggang dengan misi mencari semula ‘rentak juara’ pada Kumamoto Masters di Jepun minggu depan.
Pasangan ranking ke-20 dunia itu kali terakhir beraksi di Terbuka Korea Selatan pada September sebelum Su Yin disahkan mengalami keretakan tulang di tapak kaki kiri sekali gus memaksa mereka menarik diri daripada keseluruhan siri Eropah yang berlangsung bulan lalu.
Menurut Pang Ron, fokus utama mereka kini adalah untuk kembali kompetitif di dua kejohanan penutup musim, iaitu Kumamoto Masters (11-16 November) dan Terbuka Australia (18-23 November).
Di pusingan pertama Kumamoto Masters bertaraf Super 500 itu, mereka dijadualkan menentang pasangan Taiwan, Wu Hsuan Yi-Yang Chu Yun buat kali pertama yang merupakan finalis Kaohsiung Masters di Taiwan, baru-baru ini.
“Mereka (pasangan Taiwan) pun agak kuat juga sebab kalau tidak salah di Kaohsiung Masters mereka menjadi finalis.
“Kami tahu bukan mudah untuk lawan mereka, tapi kami sudah buat persiapan rapi dan harap dapat beri yang terbaik,” kata Pang Ron selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.
Sementara itu, Su Yin menegaskan kecederaan yang dialami sudah pulih sepenuhnya dan beliau kini lebih bersemangat untuk kembali beraksi.
Jelas Su Yin, kecederaan kali ini tidak sama seperti yang dialami di Orleans Masters pada Mac sebelum ini apabila beliau mengalami retakan kecil di tulang tapak kaki kiri, namun kini bebas sepenuhnya daripada kesakitan itu.
“Setakat ini saya sudah okay dan pulih sepenuhnya. Kecederaan itu masih ada tetapi saya lihat macam mana saya mahu atasinya. Sekarang saya tidak ada rasa takut lagi,” kata Su Yin. – UTUSAN










