PETALING JAYA: Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan pemaju induk dari Arab Saudi, RUA AlHaram AlMakki bagi menyertai pembangunan Pintu Gerbang Raja Salman (King Salman Gate) di Mekah.
Mewakili salah satu destinasi bercampur di Mekah dan terletak bersebelahan Masjidil Haram, pembangunan King Salman Gate secara keseluruhannya merangkumi keluasan lantai kira-kira 12 juta meter persegi.
Ia direka sebagai destinasi moden mesra pejalan kaki yang bakal mempertingkatkan pengalaman jemaah dengan kapasiti sekitar 900,000 ruang solat dalam dan luar bangunan.
Pengarah Urusan Kumpulan MRCB, Datuk Imran Salim berkata, Mekah mempunyai kedudukan istimewa di hati semua umat Islam dan adalah satu penghormatan bagi MRCB untuk menyokong pembangunan yang begitu signifikan dari sudut rohani dan global.
“Pengalaman kami dalam pembangunan berorientasikan transit (TOD) dan projek pemulihan bandar bersepadu meletakkan kami pada kedudukan kukuh untuk melengkapkan visi RUA AlHaram AlMakki terhadap King Salman Gate.
“Kami juga berharap dapat menyumbang kepakaran kami sambil memperkukuh hubungan pembangunan Malaysia–Saudi,” katanya dalam kenyataan.
MoU tersebut ditandatangani semasa Cityscape Global 2025 di Riyadh, semalam.
Sebagai sebuah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dengan rekod pencapaian yang kukuh sebagai pembina negara, MRCB berada pada kedudukan baik untuk menyumbang kepakaran pembangunan bertaraf dunia kepada salah satu destinasi paling bermakna bagi komuniti Muslim global yang menunaikan umrah dan haji.
Dalam pada itu, di bawah MoU yang ditandatangani, kedua-dua pihak akan meneroka pelbagai struktur kerjasama.
Ini termasuk usaha sama bagi lot terpilih, pemerolehan tanah secara langsung oleh MRCB atau penyertaan ekuiti dalam platform pelaburan yang ditaja RUA, serta model pembangunan lain yang dipersetujui bersama bagi beberapa lot tanah dalam pembangunan tersebut.
Sebagai pemaju terbesar TOD di Malaysia, MRCB mempunyai kedudukan unik untuk menyokong visi RUA.
Kumpulan itu merupakan perintis TOD di Malaysia melalui projek mercu tanda KL Sentral CBD, sebuah hab pengangkutan bersepadu bernilai RM18 bilion yang diiktiraf secara meluas sebagai model TOD paling berjaya di negara ini.
Keupayaan MRCB dalam mereka bentuk presint berketumpatan tinggi berasaskan infrastruktur amat selari dengan fokus King Salman Gate terhadap mobiliti tanpa halangan, peningkatan pengalaman jemaah dan integrasi bandar moden. – UTUSAN










