ALOR GAJAH: Melaka perlukan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi menukar baharu trek balapan Stadium Hang Jebat yang rosak teruk.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Datuk VP Shanmugam berkata, kerosakan itu menyebabkan atlet olahraga negeri tidak dapat mengadakan latihan bagi menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) di Selangor, tahun depan.
Beliau berkata, kerajaan negeri telah memohon peruntukan tersebut daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan berharap ia dapat diluluskan segera.
Katanya, trek baharu yang akan dibina nanti menggunakan teknologi sama seperti di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur dan mampu digunakan untuk penganjuran kejohanan olahraga di peringkat antarabangsa.
“Kita amat berharap peruntukan tersebut diluluskan segera bagi membolehkan trek dapat ditukar segera bagi memudahkan latihan skuad olahraga Melaka menghadapi temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Selangor, Ogos tahun depan.
“Trek sedia ada sejak siap dibina pada 2004 rosak teruk dan tidak dapat digunakan oleh atlet olahraga untuk menjalani Latihan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Sukan Komuniti Luar Bandar Peringkat Negeri Melaka di Kampung Gadek di sini, hari ini.
Shanmugam berkata, sebelum ini KBS telah meluluskan peruntukan sebanyak RM500,000 bagi skop kerja menaik taraf saliran dan penukaran rumput di Stadium Hang Jebat, namun ia tidak mencukupi dan memerlukan tambahan sebanyak RM300,000.
Beliau berkata, kerja-kerja menaiktaraf tidak dapat dijalankan berikutan padang masih digunakan oleh pasukan bola sepak Melaka FC dalam saingan Liga Super.
“Apabila kita mendapat lampu hijau daripada Melaka FC, barulah kerja-kerja menaiktaraf padang dapat dibuat segera,” katanya. – UTUSAN










