PETALING JAYA: AirAsia X menangguhkan penerbangan laluan Kuala Lumpur-Bahrain-London Gatwick berikutan ketidakstabilan geopolitik berpanjangan di Asia Barat.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail berkata, operasi laluan itu yang sepatutnya bermula pada 27 Ogos ini akan dimulakan pada Mac tahun depan, tertakluk kepada keadaan operasi dan pasaran semasa.
Katanya, semua penumpang yang terjejas akan dimaklumkan dengan segera dan diberikan Pilihan Pemulihan Perkhidmatan (SRO) bagi menguruskan rancangan perjalanan mereka.
“Antara pilihan yang ditawarkan ialah bayaran balik penuh kepada kaedah pembayaran asal atau bayaran balik dalam bentuk kredit akaun dengan nilai penuh tempahan yang sah selama 730 hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Benyamin berkata, keputusan itu dibuat selepas penilaian menyeluruh terhadap persekitaran operasi semasa, khususnya mengambil kira faktor keselamatan dan operasi.
“Keputusan sukar ini dibuat berikutan ketidakstabilan geopolitik yang berlarutan di Asia Barat. Keselamatan dan kesejahteraan tetamu serta kru kami kekal sebagai keutamaan utama.
“Ia juga selaras dengan tindakan yang diambil oleh beberapa syarikat penerbangan lain yang telah mengurangkan atau menggantung operasi di rantau berkenaan,” ujarnya.
Menurut beliau, AirAsia X akan terus memantau perkembangan di rantau itu dan menilai semula laluan berkenaan apabila keadaan mengizinkan untuk operasi yang selamat serta mampan.
“Bahrain kekal sebagai sebahagian penting dalam strategi rangkaian jangka panjang kami dan kami berharap dapat melancarkan perkhidmatan ini apabila persekitaran operasi berada dalam keadaan selamat dan kondusif,” katanya.
AirAsia X turut memohon maaf atas kesulitan yang dialami penumpang terjejas dan menegaskan komitmen untuk terus menyediakan perkhidmatan perjalanan udara yang selamat, mampu milik serta boleh dipercayai. – UTUSAN










