KUALA LUMPUR: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) merancang meminda Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 bagi membolehkan Malaysia meratifikasi instrumen antarabangsa berkaitan keselamatan dan pengawalseliaan nuklear.
Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, langkah itu penting sebagai persediaan menjadikan tenaga nuklear sebahagian daripada sumber penjanaan elektrik negara pada masa hadapan.
“Kita maklum Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) sebelum ini sudah membuat pindaan terhadap akta berkenaan. Namun, Petra berhasrat memastikan akta itu diperkemas supaya Malaysia dapat meratifikasi instrumen antarabangsa yang dipersetujui, sekali gus membuka ruang penggunaan tenaga nuklear,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Rodziah Ismail (PH-Ampang) berhubung jangkaan pembentangan rang undang-undang berkaitan pengawalseliaan tenaga nuklear di negara ini.
Menurut Akmal Nasrullah, kerajaan sedang menilai potensi tenaga nuklear secara berfasa sebagai salah satu pilihan dalam campuran tenaga negara, seiring komitmen mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
Bagi menangani kebimbangan rakyat berkaitan aspek keselamatan, beliau berkata, MyPower Corporation telah dilantik sebagai Organisasi Pelaksana Program Tenaga Nuklear (NEPIO) bagi menyelaras pembangunan awal sektor berkenaan.
Katanya, antara usaha MyPower termasuk penyediaan dasar, pengukuhan rangka kerja perundangan serta melaksanakan kajian teknikal terhadap teknologi reaktor yang berpotensi digunakan di Malaysia.
“Selain perancangan dasar, kita juga sedang meneroka teknologi nuklear sedia ada dan menilai teknologi baharu bagi memastikan keputusan yang dibuat lebih teliti serta berasaskan maklumat menyeluruh,” jelasnya.
Dalam aspek pembangunan kepakaran tempatan, beliau berkata, Petra bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk membina kapasiti institusi, teknikal dan modal insan yang diperlukan bagi mengendalikan sektor tersebut.
“Lazimnya, sesebuah NEPIO memerlukan antara 20 hingga 50 pegawai, manakala badan kawal selia memerlukan kira-kira 100 hingga 150 pegawai untuk menyediakan kerangka perundangan dan persiapan tapak. Semasa fasa pembinaan pula, keperluan tenaga kerja boleh mencecah 5,000 hingga 8,000 orang. Operasi reaktor 1,000 megawatt pula memerlukan antara 500 hingga 800 kakitangan tetap,” katanya.
Berhubung komitmen Malaysia terhadap instrumen antarabangsa, beliau menjelaskan, negara perlu menjadi state party kepada 13 instrumen di bawah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), selain dua instrumen di bawah PBB dan satu di bawah ASEAN.
“Daripada jumlah itu, Malaysia telah menandatangani dan mematuhi sembilan instrumen. Dua instrumen kekal yang belum diratifikasi ialah International Convention for the Suppression of Acts of Nuclear Terrorism dan Model Additional Protocol, manakala terdapat lima instrumen lain yang masih belum disertai,” katanya. – UTUSAN










