Liga Super: Selangor gagalkan misi sulung Sabah

Liga Super: Selangor gagalkan misi sulung Sabah

Faisal Halim mencetak jaringan kemenangan pada minit ke-59 pada aksi Liga Super menentang Sabah FC di Stadium Likas, hari ini. - IHSAN SELANGOR FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hasrat Sabah FC memburu kemenangan pertama musim ini tidak kesampaian selepas tewas 1-2 kepada Selangor FC dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, hari ini.

Pasukan tuan rumah terlebih dahulu membuka jaringan seawal minit ke-10 menerusi tandukan tepat Fergus Tierney hasil hantaran lintang bekas pemain Malaga, Miguel Cifuentes.

Sang Badak hampir menambah jaringan pada minit ke-20 melalui dua percubaan berturut-turut James Ingham dan Ajdin Mujagic, namun ketangkasan penjaga gol muda, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman menafikan peluang itu.

Selangor kembali mengimbangi permainan dan menyamakan kedudukan selepas sepakan lemah Ingham disambar Alvin Fortes yang tenang menolak bola ke gawang Damien Lim.

Babak kedua menyaksikan kebangkitan The Red Giants apabila Faisal Halim mencetak jaringan kemenangan pada minit ke-59 untuk meletakkan pelawat di depan.

Sabah cuba bangkit di penghujung permainan, namun jaringan Mujagic dibatalkan pengadil selepas penyerang Bosnia itu dikesan menggunakan tangan sebelum menolak bola masuk.

Kemenangan tersebut menamatkan kemarau tiga perlawanan tanpa kemenangan Selangor, manakala Sabah terus buntu mencari tiga mata penuh dalam saingan musim ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN