KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan bagi mencari penyelesaian terhadap isu gaji dan kekurangan bilangan jurubahasa mahkamah khususnya bahasa Cina dan Tamil.
Menurut Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais, cadangan menaikkan gaji permulaan merupakan langkah tepat bagi menghargai jasa jurubahasa sedia ada dan secara tidak langsung, menarik minat lebih ramai golongan muda untuk menceburi profesion tersebut.
“Isu kekurangan jurubahasa ini penting. Kerajaan dan pihak terlibat perlu berbincang untuk mencari jalan terbaik bagi mengatasi masalah ini. Peningkatan gaji juga boleh menjadi daya tarikan kepada lebih ramai anak muda untuk menceburi kerjaya sebagai jurubahasa.
“Saya berharap kerajaan dapat mengkaji perkara ini secepat mungkin. Tanpa jurubahasa, mahkamah tidak dapat bersidang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Mesyuarat Agung (Luar Biasa) Kali Ke-19 Kesatuan Jurubahasa-Jurubahasa dan Penterjemah-Penterjemah Kementerian Kehakiman Malaysia Barat (KJDP) di sini hari ini.
Rabu lalu, media melaporkan, Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin, menggesa kerajaan mempertimbangkan kenaikan gaji permulaan jurubahasa mahkamah bagi mengatasi kekurangan tenaga kerja, khususnya bagi bahasa Cina dan Tamil.
Menurut Bee Yin, langkah itu wajar diberi perhatian memandangkan peranan jurubahasa amat penting dalam memastikan kelancaran sistem kehakiman negara.
Abu Bakar berkata, peranan jurubahasa dan penterjemah amat penting dalam memastikan kelancaran sistem kehakiman, meskipun tugas mereka dilaksanakan di sebalik tabir.
Menurut beliau, pengalamannya dalam bidang kehakiman memperlihatkan sendiri bagaimana jurubahasa sanggup berkorban masa dan tenaga demi memastikan perjalanan mahkamah sentiasa berjalan lancar.
Katanya, jurubahasa bukan sahaja berperanan sebagai penterjemah dalam prosiding mahkamah, malah bertindak sebagai pengantara utama antara mahkamah, peguam dan orang awam.
“Jurubahasa merupakan tulang belakang kepada operasi mahkamah. Mereka memastikan setiap prosiding berjalan dengan teratur dan efisyen, bermula daripada kes dipanggil sehinggalah keputusan diumumkan,” katanya. – UTUSAN










