KUALA LUMPUR: Kem terjun negara menutup tirai Kejohanan Terjun Terbuka Malaysia 2025 dengan penuh bergaya apabila menambah tiga lagi pingat emas pada hari terakhir saingan di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, hari ini.
Aksi pagi dimulakan dengan gandingan berpengalaman negara, Nur Dhabitah Sabri-Ong Ker Ying yang mengekalkan kejuaraan dalam acara 3 meter (m) papan anjal seirama wanita.
Pasangan itu mempamerkan rutin konsisten dan berirama sempurna untuk meraih 239.34 mata, meninggalkan pasangan muda Uzlifatil Jannah Ashraf-Teng Hui Xue yang memenangi perak dengan 205.11 mata.
Wakil Hong Kong, Leung Ka Sin-Angel Wang sekadar berpuas hati di tempat ketiga selepas mengumpul 201.69 mata bagi membawa pulang gangsa.
Sorakan gemuruh penonton kemudian beralih kepada ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong yang bergandingan dengan Lee Yiat Qing dalam acara 10m platform seirama wanita.
Walaupun masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan, Pandelela membuktikan kelas tersendiri apabila memimpin kutipan 270.27 mata, jauh meninggalkan pasangan muda Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj-Nurul Farisya Affendi di tempat kedua dengan 242.22 mata.
Turut mencuri tumpuan, penerjun Olimpik negara Bertrand Rhodict membuktikan ketangkasannya dalam acara 10m platform individu lelaki selepas muncul juara dengan 417.55 mata.
Rakan senegara Enrique Maccartney Harold meraih perak dengan 414.40 mata manakala pingat gangsa menjadi milik Atlet Neutral (NAB), Sandro Rogava yang mengumpul 372.75 mata. – UTUSAN










