JOHOR BAHRU: Suasana hiba menyelubungi Jabatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) hari ini apabila ahli keluarga hadir menuntut mayat mendiang K. Sugumaran, 59, yang maut dalam insiden kebakaran di atas kapal kontena Kyparissia di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di sini semalam.
Bagaimanapun pihak media tidak dibenarkan masuk ke Jabatan Forensik HSA termasuk untuk menemu bual ahli keluarga mendiang dan hanya mengambil gambar di luar pagar jabatan berkenaan.
Sementara itu, suasana sama juga dirasakan di kediaman keluarga mendiang di Bandar Seri Alam, Masai di sini.
Anak perempuan tunggal mendiang yang berusia 26 tahun ketika ditemui juga enggan ditemu bual kerana masih terkejut dengan tragedi yang menimpa bapanya.
Difahamkan, jasad mendiang akan dibawa ke Krematorium Hindu di Jalan Kebun Teh, Johor Bahru, petang esok untuk upacara pembakaran mayat.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari semalam, letupan di atas kapal Kyparissia berdaftar di Malta telah meragut nyawa tiga individu termasuk Sugumaran, seorang pakar kebakaran warga Britain, Darren Holling, 49 dan kru kapal warga Filipina, Diaday Jason Hernia, 38.
Tiga lagi individu dilaporkan cedera dan kini dirawat di sebuah hospital swasta di Iskandar Puteri.
Siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai berpunca daripada salah sebuah kontena di kapal berkenaan yang sedang dalam pelayaran dari PTP menuju ke Lome, Togo sebelum berpatah balik ke dermaga empat untuk mendapatkan bantuan kecemasan.
Pihak berkuasa maritim masih menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian yang menggemparkan industri perkapalan antarabangsa itu. – UTUSAN










