KBS kawal ketat sukan tempur libatkan atlet bawah 15 tahun

KBS kawal ketat sukan tempur libatkan atlet bawah 15 tahun

AHMAD Nor Iman Aliff (kanan) mengasak Huynh Hoang Phi dalam pertarungan 54kg muay thai pada Sukan SEA Vietnam 2021 lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengetatkan kawal selia penganjuran sukan tempur berisiko tinggi dengan melarang penyertaan atlet bawah 15 tahun dalam acara full contact (tempur penuh) tanpa pelindung keselamatan berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, langkah itu dibuat bagi melindungi keselamatan dan kebajikan atlet muda susulan kebimbangan terhadap peningkatan penganjuran acara yang melibatkan kanak-kanak serta pempengaruh (influencer).

“Semua penganjur acara sukan tempur dilarang melibatkan atlet bawah umur 15 tahun dalam acara full contact tanpa pelindung keselamatan dan hendaklah mengikut peraturan badan pengelola kebangsaan masing-masing.

“Penyertaan atlet bawah 15 tahun hanya dibenarkan dalam kejohanan rasmi anjuran persatuan sukan kebangsaan atau negeri yang berdaftar di bawah Akta Pembangunan Sukan,” kata Hannah kepada pemberita dalam sidang akhbar di Menara KBS, Putrjaya hari ini.

Menurut Hannah, empat sukan utama yang termasuk dalam kategori full contact ialah tinju, muaythai, kickboxing dan seni bela diri campuran (MMA) yang dibenarkan beraksi sehingga knockout (KO), sekali gus mempunyai risiko kecederaan serius jika tidak dikawal.

Katanya, Pesuruhjaya Sukan (PJS) turut diberi mandat untuk mengkaji semula mekanisme kawal selia acara tempur itu bagi memastikan aspek keselamatan dan integriti pertandingan lebih terjamin.

“KBS juga mengarahkan PJS menyelia pengumpulan data berkaitan kejohanan, jumlah atlet, kadar kecederaan dan insiden kesihatan untuk dijadikan asas kepada pembangunan dasar baharu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hannah menegaskan kementeriannya tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk eksploitasi kanak-kanak dalam acara sukan tempur yang bersifat hiburan semata-mata.

Beliau berkata, ketetapan baharu itu juga bertujuan memastikan ibu bapa yakin menghantar anak mereka menyertai sukan tempur dalam suasana yang selamat, profesional dan beretika.

“Kita tidak mahu kanak-kanak dijadikan aset hiburan atau digunakan untuk menjual tiket. Sukan tempur bukan aksi hiburan, ia dikawal selia di bawah undang-undang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN