KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sentiasa membuka pintu kepada pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia untuk mendapatkan sebarang bantuan jika memerlukan.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, Zii Jia boleh menggunakan segala kemudahan yang ada di Institut Sukan Negara (ISN) bagi mendapatkan semula kecergasannya selepas dilanda kecederaan buku lali berpanjangan.
“Untuk ISN, memang kita akan membantunya jika Zii Jia memerlukan bantuan, anda boleh hubungi Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Dr P Vellapandian pada bila-bila masa dan kami akan membantu Zii Jia,” katanya selepas pengumuman penajaan : Skechers x Team Malaysia, Sukan Sea ke-33 di sini semalam.
Kelmarin, Zii Jia mengesahkan bahawa dia menutup tirai kalendar 2025 lebih awal dan tidak akan beraksi dalam sebarang kejohanan sehingga hujung tahun ini selepas bergelut dengan kecederaan berpanjangan.
Dalam pada itu, Hannah turut berharap agar Zii Jia dapat kembali pulih dengan segera selain bermotivasi tinggi bagi mengharungi musim 2026.
“Saya berdoa agar Zii Jia dapat pulih sepanjang proses pemulihan daripada kecederaan ini. Sangat penting untuk dia kembali dengan segar tahun depan dan kita tahu jadual badminton sangat padat.
“Jika ada kecederaan, mereka akan melalui detik sukar dan tidak pulih dengan sempurna, akhirnya boleh mengalami kelesuan (burnout).
“Kita mahu memastikan Zii Jia menggunakan masa ini untuk mencari ketenangan dan kembali tahun depan dengan semangat serta tujuan baharu untuk kejohanan-kejohanan yang akan datang,” katanya.-UTUSAN










