PETALING JAYA: Perhubungan diplomatik dan persahabatan ikhlas antara Malaysia dan Bahrain mempunyai potensi kerjasama yang besar.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah, negara itu merupakan rakan strategik yang penting untuk Malaysia dan berharap dapat mengukuhkan kerjasama ekonomi seiring dengan Visi Ekonomi Bahrain 2030.
“Bahrain dan Malaysia saling menghormati dan mempunyai semangat persaudaraan di samping berkongsi nilai-nilai, aspirasi serta komitmen kepada keamanan, kesejahteraan dan kemajuan untuk rakyat.
“Saya harap lawatan saya kali ini akan membuka lembaran baharu dalam membentuk hala tuju masa hadapan perhubungan kedua-dua negara,” titah Sultan Ibrahim dalam Majlis Santapan Negara bersempena lawatan negara ke Bahrain semalam.
Raja Bahrain, Raja Hamad bin Isa Al-Khalifa bertitah, menzahirkan komitmen ke arah menjadi rakan strategik jangka panjang yang ikhlas dan membina untuk Malaysia dengan mengeratkan kerjasama dalam pelbagai bidang.
“Pertumbuhan Malaysia yang memberangsangkan telah dicapai melalui kecemerlangan dalam bidang perniagaan, perindustrian dan pertanian, bidang-bidang yang turut menjadi kekuatan Bahrain.
“Oleh itu, kita mempunyai banyak peluang untuk saling memperoleh manfaat dalam sektor seperti perbankan, teknologi kewangan (fintech), pelancongan, pertanian dan pembangunan infrastruktur.
“Tuanku dan negara Tuanku telah menjadi saudara serta sekutu setia kepada Bahrain dan dengan memperbaharui penghargaan atas kunjungan Tuanku ini, saya dengan tulus berharap agar persahabatan kita akan terus berkembang dan makmur pada tahun-tahun yang akan datang,” titah Raja Bahrain.
Terdahulu, keberangkatan tiba Seri Paduka di Istana Sakhir, Zallaq disambut Raja Hamad bin Isa Al-Khalifa bersama Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman bin Hamad Al-Khalifa dan keluarga diraja Bahrain.
Pada Khamis lalu. Sultan Ibrahim yang berangkat mengadakan lawatan negara ke Bahrain telah diberikan sambutan negara di Istana Sakhir. – UTUSAN










