Hakim Danish ganti Yamanaka di Portugal dan Valencia

Hakim Danish ganti Yamanaka di Portugal dan Valencia

Peluang itu hadir susulan pelumba utama pasukan, Ryusei Yamanaka dari Jepun terpaksa menamatkan musim lebih awal selepas menjalani pembedahan pada jari kelingking kirinya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli menerima khabar gembira apabila dipanggil beraksi dalam dua pusingan terakhir Kejuaraan Dunia Moto3 musim ini bersama MSi Racing Team.

Peluang itu hadir susulan pelumba utama pasukan, Ryusei Yamanaka dari Jepun terpaksa menamatkan musim lebih awal selepas menjalani pembedahan pada jari kelingking kirinya.

Menurut kenyataan rasmi pasukan itu, Hakim Danish akan beraksi sebagai pengganti Yamanaka di Grand Prix Portugal (7–9 November) dan Grand Prix Valencia (14–16 November).

“Ryusei Yamanaka menjalani pembedahan pada jari kelingking kirinya dan akan terlepas baki saingan kejuaraan musim ini.

“Bagi Hakim Danish dua perlumbaan ini bakal menjadi pengalaman berharga yang akan membantunya membuat lonjakan ke Kejuaraan Dunia penuh pada tahun 2026,” kata MSi Racing hari ini.

Peluang beraksi lebih awal itu juga dianggap sebagai langkah strategik pasukan untuk memberi ruang pendedahan awal kepada pelumba muda negara itu sebelum debut rasminya musim depan.

Ketika ini, pelumba berusia 18 tahun itu sedang bersaing dalam Pusingan 6 Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP di Catalunya sebelum beralih fokus ke pentas dunia dalam masa dua minggu lagi.

Hakim Danish sebelum ini berdepan nasib malang di Grand Prix Malaysia apabila jenteranya mengalami kerosakan enjin ketika berada dalam kelompok 10 terbaik.

Bagaimanapun, pelumba kelahiran Terengganu itu bertekad menjadikan dua perlumbaan di Portugal dan Valencia sebagai pentas terbaik membuktikan kemampuannya sebelum bergandingan dengan Yamanaka secara rasmi musim hadapan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN