KUALA LUMPUR: Badan Penyelarasan TVET Kerajaan-Industri (GITC) meletakkan untuk mengukuhkan hubungan antara industri dan institusi pendidikan di bidang TVET dalam usaha membantu mencapai matlamat negara berpendapatan tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif GITC, Jamil Bakri, perkara itu antara yang ditekankan pada mesyuarat lembaga pengarahnya yang menandakan titik penting dalam usaha mengukuhkan hubungan antara industri dan institusi pendidikan di bidang TVET (Pendidikan Teknikal dan Vokasional).

Katanya, mesyuarat kelima tahun ini turut menumpukan pada penilaian aktiviti setahun serta perancangan masa depan.
Hadir sama dalam mesyuarat tersebut adalah Pengerusi GITC, Tan Sri Soh Thian Lai; Ahli Lembaga Pengarah GITC, Datuk J. Palaniappan, dan barisan pengurusan tertinggi GITC.
Satu sesi libat urus bersama wakil-wakil industri dan institusi TVET juga turut diadakan selepas mesyuarat tersebut.
Sebagai platform utama, GITC berperanan menghubungkan keperluan industri dengan TVET di seluruh Malaysia. Organisasi bukan berasaskan keuntungan ini diletakkan di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi oleh kerajaan dan anggotanya terdiri daripada wakil kerajaan, industri, dan kesatuan, bertujuan untuk memastikan graduan TVET mempunyai kemahiran yang relevan dan memenuhi kehendak pasaran kerja.
GITC memainkan peranan sebagai pemangkin kerjasama strategik antara industri dan institusi TVET, memastikan program pengajian sentiasa relevan dan terkini dengan keperluan semasa. Inisiatif ini bukan sahaja memperkasakan graduan secara individu tetapi turut menyokong penciptaan tenaga kerja berdaya saing untuk memajukan ekonomi negara.
Antara inisiatif utama adalah program Work Based Learning (WBL) di bawah ‘MTUN’, yang diuruskan bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui GITC. Program ‘MTUN’ ini pula melibatkan empat universiti, politeknik, dan kolej komuniti di seluruh Malaysia yang membolehkan pelajar tahun akhir mendapat pengalaman praktikal di industri sebenar selama setahun.
Melalui WBL, pelajar tahun terakhir wajib berada di industri untuk satu tempoh yang terstruktur. Industri pula bertanggungjawab menyediakan jurulatih industri yang membimbing pelajar sepanjang latihan, sekaligus menyediakan platform pengalaman kerja yang berharga kepada para pelajar.
Jamil berkata, harapan GITC adalah selepas menamatkan program WBL, pelajar akan mudah diambil bekerja dengan gaji yang kompetitif atau lebih tinggi daripada purata pasaran, sekali gus mengurangkan mismatch antara kemahiran graduan dan kehendak industri yang selama ini menjadi cabaran utama.
“Usaha memperkukuh program WBL ini juga bertujuan untuk meningkatkan jumlah syarikat yang menyediakan tempat latihan atau ‘placement’ bagi pelajar TVET. Semua institusi TVET diarahkan untuk menghantar pelajar mereka ke industri yang sesuai dan strategik bagi memaksimumkan impak positif kepada ekonomi negara” kata beliau.
Malaysia kini bergerak menuju status negara berpendapatan tinggi. Di sinilah peranan signifikan GITC dalam menyelaraskan penawaran graduan TVET yang terlatih dan berkemahiran dengan permintaan industri, dengan sasaran sekurang-kurangnya 35% tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Mesyuarat terbaru ini juga melibatkan perbincangan dengan wakil industri untuk mendapatkan maklum balas dan idea terbaru yang boleh dijadikan asas untuk memperkukuh kerjasama antara industri dan kerajaan. Fokus utama adalah meningkatkan impak TVET di peringkat nasional dan antarabangsa.
Inisiatif kerjasama ini dipercayai dapat mempertingkatkan kualiti pendidikan TVET, menggalakkan pengambilan pekerja berkemahiran dalam industri, serta memacu negara ke tahap kemajuan yang lebih tinggi di masa hadapan.










