LONDON: Pengendali Tottenham Hotspur, Thomas Frank mengakui beliau sedikit terkilan dengan jumlah peluang jaringan paling rendah musim ini.
Beliau turut memahami mengapa pemainnya seperti Djed Spence dan Micky van de Ven bersikap dingin terhadapnya selepas tamat permainan.
Untuk rekod, nilai ‘expected goals’ (xG) Tottenham hanya 0.05, terendah pernah dicatatkan sejak statistik itu diperkenalkan dalam bola sepak pada 2012.
Pasukan itu diboo penyokong sendiri selepas tewas 0-1 kepada Chelsea, dan Frank mengakui beliau faham kekecewaan mereka.
Seperti biasa, pengurus dari Denmark itu tetap memberikan penghormatan kepada penyokong yang hadir ke stadium, namun tular video oleh Chris Cowling menunjukkan Spence dan Van de Ven mengabaikannya ketika beliau cuba menegur mereka.
Spence malah kelihatan melambai-lambaikan tangan dengan kekecewaan sewaktu melangkah ke arah bilik persalinan
“Semestinya para pemain berasa kecewa. Mereka sudah berusaha sebaik mungkin untuk memenangi perlawanan.
“Kita perlu kekal konsisten sama ada ketika menang atau kalah. Sebab itulah saya tetap menghargai penyokong seperti biasa walaupun jauh lebih menyeronokkan apabila kita menang,” katanya ketika ditanya mengenai dua pemain itu.
Frank menyifatkan perkara itu hanya isu kecil dan yakin kedua-dua pemain terbabit telah mencuba sedaya upaya mereka.
“Semua orang kecewa. Kita bereaksi dengan cara yang berbeza. Saya rasa ia bukan masalah besar,” katanya.
Mengulas mengenai catatan xG yang hanya 0.05, Frank mengakui ia amat mengecewakan.
“Saya tidak pernah mengendalikan pasukan yang mencipta peluang begitu sedikit dalam satu perlawanan. Saya akan meneliti apa yang boleh dilakukan untuk memperbaikinya,” ujarnya.
Tambah beliau, insiden diboo penyokong adalah sebahagian daripada lumrah bola sepak namun ia sesuatu yang pahit untuk ditelan.
“Sudah tentu, sebagai pengurus, sebahagian tugas saya ialah berdepan media dan menjawab soalan-soalan yang baik, walaupun hati sedang membara dan ingin segera menonton semula perlawanan untuk mencari puncanya.
“Namun saya perlu kekal tenang. Secara keseluruhan, saya akui Chelsea bermain dengan baik, manakala kami jelas pasukan kedua terbaik dan beraksi hambar,” katanya.
Sementara itu, pengurus Chelsea, Enzo Maresca, memuji Moises Caicedo sebagai pemain tengah bertahan terbaik dunia sebaris dengan bintang Manchester City, Rodri.-AGENSI










