PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersedia memulakan proses membawa kes melibatkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Langkah itu selepas FAM menerima alasan penuh keputusan Jawatankuasa Rayuan yang menolak rayuan FAM dan tujuh pemain terbabit daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, tindakan membawa kes ke CAS diambil bagi memastikan keadilan ditegakkan serta mempertahankan integriti proses kelayakan pemain yang ditetapkan kerajaan dan badan berkaitan.
Tegasnya, FAM akan memulakan proses membawa kes ini ke CAS dan tetap komited memperjuangkan hak semua pemain yang layak mewakili negara.
“FAM ingin memaklumkan sudah menerima alasan penuh keputusan diberikan oleh FIFA berhubung penolakan rayuan FAM berkaitan status kelayakan tujuh pemain warisan Malaysia.
“Setiap tindakan akan diambil secara profesional, telus dan mengikut saluran undang-undang yang sewajarnya,” katanya.
FIFA mendedahkan alasan penuh keputusan Jawatankuasa Rayuan setebal 64 muka surat, hari ini, susulan keputusan pada 3 November lalu yang menolak rayuan FAM dan tujuh pemain terbabit.
Keputusan itu mengekalkan hukuman denda CHF350,000 (RM1.8 juta) ke atas FAM yang dikenakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA pada September lalu.
Selain itu, tujuh pemain terbabit digantung 12 bulan dan dikenakan denda CHF2,000 (RM10,000) setiap seorang.
FAM menegaskan langkah membawa kes ke CAS adalah untuk memastikan proses adil dan memberi peluang kepada pemain membela diri secara sah di peringkat antarabangsa.
Badan induk bola sepak negara itu, juga menekankan bahawa mereka akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa serta badan berkaitan bagi memastikan setiap prosedur dipatuhi.-UTUSAN










