YAN: Dua kanak-kanak lelaki maut selepas dipercayai dirempuh sebuah kereta ketika menunggang basikal di Kampung Sedaka Tengah, di sini pagi tadi.
Kejadian yang berlaku pada pukul 9.15 pagi itu menyebabkan kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, mangsa berusia 10 dan 11 tahun itu menaiki sebuah basikal di mana salah seorang mereka berdiri di bahagian belakang.
Bagaimanapun ketika melalui jalan itu, basikal yang dinaiki mereka dipercayai dilanggar sebuah kereta dari arah belakang.
Ketua Polis Daerah Yan, Superintenden Mohamad Hamizi Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Menurutnya, polis menerima makluman daripada orang awam membabitkan kejadian itu dan siasatan lengkap sedang dilakukan
“Perkembangan kes akan dimaklumkan selepas siasatan selesai di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN










