TOKYO: Beregu campuran negara, Edmund Teo-Boon Wei Ying mempamerkan prestasi mantap apabila mengekalkan status antara pilihan utama kejohanan dengan menewaskan pasangan Korea Selatan, Jeong Jincheol-Park Soyi dalam aksi pertama kumpulan C Deaflympics 2025 di Keio Arena Tokyo, Jepun hari ini.
Pemenang pingat perak edisi 2021 itu menamatkan perlawanan dua set 21-14, 21-19 dalam tempoh 32 minit permainan, menunjukkan keserasian yang tinggi di gelanggang.
Bagi Wei Ying, kunci kejayaan mereka bukan hanya pada teknik individu, tetapi terletak pada kerjasama dan pengalaman beregu yang dipupuk sejak latihan penuh tahun ini.
“Untuk beregu campuran, memang saya dapat semangat lebih, sebab yang baiknya, keyakinan tu kita dah buat yang paling terbaik dan kerjasama dengan partner kita sangat penting,” kata Wei Ying kepada pemberita selepas perlawanan di sini, hari ini.
Kemenangan itu memberikan momentum positif menjelang aksi seterusnya menentang gandingan Turkiye, Muhammed Sert-Elif Sahra Demirel, yang akan menjadi penentu kedudukan mereka ke pusingan kalah mati esok.
Menurut format kejohanan, hanya dua beregu teratas setiap kumpulan akan melangkah ke pusingan kalah mati sebelum beraksi dalam undian utama temasya tersebut.
Pasangan baharu negara, R. Aravindakumara-Foo Zu Tung pula menghadapi nasib berbeza apabila tewas kepada pasangan Taiwan, Chen Chung I-Shen Yan Ru, 26-24, 21-14 dalam 28 minit permainan, namun masih berpeluang mara ke pusingan kalah mati selepas kemenangan sebelum ini ke atas pasangan Turkiye.
Edmund turut menempah slot ke pusingan kalah mati dalam saingan perseorangan selepas menewaskan pemain Denmark, William Haurholm-Rasmussen 9-21, 21-15, 15-21 dalam 43 minit permainan yang penuh ketegangan.
Aravindakumara pula mara ke pusingan seterusnya walaupun tewas kepada Chung I dalam aksi kedua kumpulan G 13-21, 15-21, selepas menundukkan pemain Thailand, Anuntawip Sombun semalam untuk memastikan kelayakan awal. – UTUSAN










