TOKYO: Beregu campuran negara, Edmund Teo-Boon Wei Ying kembali menghidupkan semula misi emas kontinjen Malaysia di Deaflympics 2025 selepas mara ke separuh akhir, hari ini.
Beraksi penuh keyakinan di Keio Arena Tokyo, pilihan keempat kejohanan itu mudah menundukkan pasangan Taiwan, Cheng Chen Ding-Fan Jung Yu 21-16, 21-11 dalam masa 35 minit permainan.
Kemenangan itu hadir pada saat yang tepat selepas gandingan juara bertahan beregu wanita, Wei Ying-Foo Zu Tung tersingkir sekali gus memadamkan satu sumber harapan pingat emas negara.
Pasangan pilihan utama itu dikejutkan oleh gandingan bukan pilihan China, Jiang Jialei-Zhang Heng Yan 13-21, 8-21 pada aksi suku akhir, hari ini.
Kekalahan mereka turut menjejaskan sasaran tiga pingat emas yang diletakkan Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDEAF) menerusi acara beregu wanita, beregu campuran serta boling berpasukan lelaki.
Kini tumpuan sepenuhnya terarah kepada Edmund-Wei Ying untuk mengibarkan Jalur Gemilang di pentas final esok.
Edmund menegaskan fokus mereka kini adalah memastikan setiap mata dikutip sebaik mungkin bagi mengelakkan kesilapan yang boleh mengundang padah dalam pertembungan penentu.
“Kami cuba buat yang terbaik untuk Malaysia dan mengikut gerak strategi jurulatih supaya dapat mengekalkan rentak permainan. Kami tahu tekanan itu ada tetapi kami tetap kekal tenang dalam setiap mata untuk pastikan misi ke final tidak terganggu,” jelasnya.
“Kami mahu buktikan bahawa kami mampu pergi lebih jauh dan berjuang sampai dapatkan pingat untuk negara,” kata Edmund kepada pemberita selepas perlawanan di sini, hari ini.
Malaysia bakal berdepan cabaran serba berbeza bertemu pemenang satu lagi suku akhir dari pasangan Korea Selatan, Shin Kyungduk-Park Min Kyeong, bagi penentuan slot final.
Perlawanan akhir akan turut berlangsung pada hari yang sama esok selepas berakhirnya separuh akhir dan akan memulakan tirai saingannya pada pukul 4 petang waktu Malaysia.
Untuk rekod, Edmund-Wei Ying sebelum ini meraih perak selepas tewas dalam final edisi 2021 di Brazil kepada pasangan India, Abhinav Sharma-Jerlin Jayaratchagan. – UTUSAN










