TOKYO: Skuad boling negara terus mengekalkan rentak kemenangan apabila gandingan wanita negara menghadiahkan pingat perak pada Deaflympics 2025 di Higashiyamato Grand Bowl, hari ini.
Nor Misha Nathera Mackery-Huwainaa Danduan Abdullah mempamerkan aksi penuh semangat sebelum tunduk kepada pasangan Korea Selatan, Lee Chanmi-Heo Seonsil secara straight frame 0-2.
Dua permainan yang sengit itu menyaksikan skuad negara tewas 175-203 dan 108-208 kepada lawan yang lebih berpengalaman.
Meskipun tidak bergelar juara, persembahan bertenaga mereka memastikan kontinjen negara terus menyerlah dalam aksi boling.
Kejayaan perak itu hadir sehari selepas Syabil Azam Syamsul Azam-Ho Choon Seong mencipta sejarah merangkul emas pertama Malaysia dalam acara beregu lelaki.
Malaysia turut meraih gangsa daripada acara badminton beregu campuran, Edmund Teo-Boon Wei Ying yang terlepas sasaran pingat emas yang ditetapkan oleh Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf).
Pingat itu juga mengukuhkan keyakinan MSDeaf yang menyasarkan tiga emas pada temasya kali ini termasuk dua daripada badminton dan boling berpasukan lelaki.
Setakat ini, Malaysia mengumpul satu emas, satu perak dan satu gangsa untuk terus menghangatkan cabaran di Tokyo. – UTUSAN










