PETALING JAYA: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berkata seorang daripada tujuh pemain yang didakwa memalsukan dokumen menimbulkan syak wasangka yang kuat bahawa wujud elemen pemalsuan.
Perkara itu didedahkan oleh FIFA dalam ‘motivated decision’ atau alasan bertulis penuh setebal 64 muka surat yang dikeluarkan Jawatankuasa Rayuan badan induk dunia itu.
Kata badan induk dunia itu, dalam satu temubual dilakukan bersama pemain berkenaan, dia pada awalnya mengaku datuk dan nenek berasal dari Venezuela dan Sepanyol.
Begitupun, dalam beberapa saat selepas itu pemain berkenaan memohon maaf dengan menukar kenyataan asal datuk dan nenek dari Malaysia.
“Berhubung ‘Player 1’, dia tidak dapat mengemukakan salinan dokumen yang diserahkan kepada ejennya ketika menghadiri satu jamuan bersama bapanya.
“Dia pemain terakhir yang ditemu bual dan jawapan pertamanya ketika ditanya mengenai tempat kelahiran neneknya adalah “Sepanyol” tetapi kemudian membetulkan dirinya dan menyatakan “Malaysia”.
“Kata-kata tepat dia ialah: “Datuk saya lahir di Venezuela dan nenek saya di Sepanyol… maksud saya Malaysia, maaf.”, kata FIFA merujuk pada perenggan 145 dan 146.-UTUSAN










