PETALING JAYA: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz mengakui skuadnya berdepan malam yang kurang menjadi selepas tunduk 0-2 kepada Melbourne City FC dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) Zon Timur di Stadium Rectangular Melbourne, semalam.
Menurut Munoz, JDT sebenarnya tampil dengan permainan kemas dan berjaya menguasai sebahagian besar aksi pada kedua-dua babak, namun kegagalan memanfaatkan deretan peluang terhidang membuatkan mereka pulang hampa tanpa sebarang mata.
“Dalam bola sepak, ada hari kita berada di tahap terbaik dan ada hari keputusan tidak memihak kepada kita. Hari ini (semalam), Melbourne City lebih efektif untuk meraih kemenangan.
“Ini bukan noktah buat kami. Kami akan meneliti beberapa aspek terutama intensiti permainan. Dalam saingan ACLE, jika anda tidak menyudahkan peluang, anda akan dihukum,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Munoz turut akui bahawa JDT bermula agak perlahan sehingga dihukum dengan situasi bola mati dan menegaskan perkara itu perlu segera diperbaiki kerana ia memberi kesan besar terhadap rentak permainan.
“Ini kali pertama kami ketinggalan selepas pemain kami bermula agak perlahan dan tidak dapat mengawal situasi set-piece’ yang dilakukan pasukan lawan dan kami harus segera perbaiki situasi berkenaan dan barisan pemain saya tidak boleh lagi melepaskan peluang mencipta jaringan.
“Penjaga gol lawan (Patrick Beach) juga tampil cemerlang dengan menafikan beberapa percubaan berbahaya kami. Begitulah bola sepak, kami harus lupakan kekalahan ini dan bangkit dalam aksi seterusnya,” jelasnya.
Dalam perlawanan tersebut, Melbourne City mendahului seawal minit ketiga menerusi penyudah Max Caputo sebelum rembatan deras Medin Memeti di penghujung permainan memastikan kemenangan mutlak buat skuad kendalian Aurelio Vidmar.
Kekalahan itu sekali gus melebur impian Harimau Selatan untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata walaupun mereka mencatat 25 percubaan, termasuk 10 percubaan tepat ke arah gawang.
“Statistik jelas menunjukkan kami memiliki banyak peluang, namun ketajaman penyudah tidak menyebelahi kami. Seperti saya katakan, ia bukan hari JDT dan nasib juga tidak berpihak kepada kami,” ujarnya. – UTUSAN










