PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor mengumumkan beberapa pelantikan baharu bagi jawatan utama kepemimpinannya.
Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Ahli Dewan Undangan (ADUN) Morib, Rosnizan Ahmad telah dilantik sebagai Setiausaha BPN Selangor.
Selain itu, Ketua Bersatu Bahagian Kapar, Jumiah Jonet dilantik sebagai bendahari manakala ADUN Sungai Kandis yang juga Ketua Bersatu Bahagian Kota Raja, Wan Dzahanurin Ahmad dilantik sebagai Ketua Penerangan.
“Bersatu Selangor juga komited untuk memperhebat program penerangan dan komunikasi kepada rakyat bagi menyampaikan aspirasi serta idealisme perjuangan.
“Bagi merealisasikan matlamat ini, saya turut melantik Datuk Noorazley Yahya (ADUN Bukit Melawati) sebagai Pengarah Komunikasi dan Strategi Media Baharu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohamed Azmin berkata, BPN Selangor yakin, barisan kepemimpinan baharu itu akan membawa semangat segar dalam memperkukuh jentera parti, memperhebat usaha mendekati rakyat dan memperkasa mesej perjuangan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) sebagai wadah politik rakyat. – UTUSAN










