Arsenal kekal gah dipuncak liga, benam Spurs 4-1

Arsenal kekal gah dipuncak liga, benam Spurs 4-1

PEMAIN Arsenal, Mikel Merino diasak pemain Tottenham Hotspurs pada aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Arsenal berpesta gol di Emirates apabila Eberechi Eze meledak hatrik sensasi untuk membantu The Gunners menewaskan seteru tradisi, Tottenham Hotspur, 4-1 dalam pertembungan derby London Utara yang penuh emosi awal pagi tadi.

Perlawanan bermula sengit dengan Tottenham tampil berhati-hati di bawah kendalian Thomas Frank, namun kegagalan mengekalkan disiplin bertahan akhirnya mengundang padah.

Arsenal hanya memerlukan satu detik kecuaian untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-36 menerusi Leandro Trossard yang bijak menyambar hantaran Mikel Merino di dalam kotak penalti.

Gol itu menjadi pemangkin kebangkitan Arsenal yang kemudian menggandakan kedudukan pada minit ke-41 selepas Eze  pemain yang sebelum ini hampir disambar Spurs pada jendela perpindahan musim panas lalu  memanfaatkan ruang di hadapan kotak penalti sebelum melepaskan rembatan rendah menewaskan Guglielmo Vicario.

Bersambung babak kedua, Eze sekali lagi menghukum pertahanan Spurs yang longgar apabila mudah melepasi kawalan di zon berbahaya untuk menghasilkan jaringan kedua peribadi hanya beberapa saat selepas sepak mula.

Tottenham yang tidak pernah tewas di tempat lawan musim ini sebelum perlawanan bermula, akhirnya menemui gol pada minit ke-55 menerusi gerakan solo berkelas dunia. Richarlison mengambil kesempatan daripada kedudukan David Raya yang berada jauh dari gawang untuk melakukan larian dan menyempurnakan voli jarak 45 meter yang menggegarkan stadium.

Namun kebangkitan itu hanya seketika apabila pada minit ke-76, Eze melengkapkan malam gemilangnya dengan hatrik pertama bersama Arsenal selepas menyudahkan satu lagi gerakan menyerang yang tersusun.

Kemenangan itu mengekalkan rekod tanpa kalah Arsenal dalam sembilan aksi liga serta melebarkan kedudukan di puncak dengan 29 mata selepas 12 perlawanan.

Chelsea mengikuti di tempat kedua dengan 23 mata, manakala Spurs kini jatuh ke tangga kesembilan dengan 18 mata.

Arsenal kini berada pada landasan terbaik untuk terus menguasai saingan liga, manakala Spurs perlu segera bangkit jika tidak mahu terus tercicir daripada kelompok teratas.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN