PETALING JAYA: Anak syarikat Andalusia, Vacasia Tours & Travel Sdn. Bhd. memperkenalkan pakej umrah baharu bertemakan ‘Satu Hari Satu Sunnah, Satu Hari Satu Hadis’ yang akan mula dilaksanakan pada Julai 2026.
Pengarah Urusan Vacasia Tours & Travel Sdn. Bhd. Adam Ibrahim berkata, pakej selama 12 hari 10 malam itu memberi penekanan dan penghayatan sunnah melalui perkongsian hadis setiap hari sepanjang berada di Tanah Suci dan bukan sekadar melaksanakan kepada ibadah umrah serta ziarah semata-mata.
Katanya, pakej tersebut ditawarkan pada harga RM7,890 dengan menyasarkan sekitar 500 jemaah setahun.
“Pakej ini akan dibuka pada Julai dan Disember setiap tahun dan ia khusus untuk semua jemaah tanpa mengira sama ada pakej yang sederhana atau pakej premium.
“Apa yang pasti, setiap hari akan ada sunnah dan hadis yang mereka pelajari dan amalkan. Ia dirangka agar kekal mampu milik serta terbuka kepada semua peringkat masyarakat,” katanya kepada pemberita dalam Majlis Pelantikan Penaung dan Penasihat Kehormat Vacasia Tours & Travels Sdn. Bhd. di Seri Pacific Hotel Kuala Lumpur di sini, semalam.
Dalam majlis yang diadakan itu, Vacasia Vacasia Tours & Travel mengumumkan pelantikan Datuk Dr.Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim sebagai penaung dan penasihat rasmi syarikat itu dalam usaha memperkukuh hala tuju strategik serta kualiti pengurusan pakej umrah serta pelancongan Islamik.
Pelantikan tokoh pendakwah dan motivator terkenal itu dijangka memberi nilai tambah kepada pembangunan modul kerohanian, khususnya bagi pakej umrah terbaharu syarikat tersebut, ‘Satu Hari Satu Sunnah, Satu Hari Satu Hadis’, yang bakal mula diperkenalkan Julai ini.
Dalam pada itu, Mohd Izhar berkata, pakej itu nanti akan mengetengahkan sejarah-sejarah baharu yang tidak diketahui jemaah umrah sebelum ini sepanjang perjalan ibadah itu.
“Kita mahu bawa naratif baharu agar masyarakat kita apabila pergi umrah, dia bukan sahaja tahu sejarah-sejarah yang lama, tetapi dia kena tahu isu semasa negara yang perlu dibawa dan mampu menaikkan semangat mereka di Tanah Suci nanti,” katanya. – UTUSAN











