KUALA LUMPUR: Dua model utama Alfa Romeo, Giulia dan Stelvio Veloce, memasuki pasaran tempatan melalui DLSB Partners Sdn. Bhd., pengedar bebas yang juga ahli Atlantis Motor Group, sekali gus menandakan kemunculan semula jenama tersebut selepas 10 tahun.
Kembalinya jenama Itali itu turut disokong strategi baharu yang menekankan aspek reka bentuk, kejuruteraan dan pengalaman pemilikan premium, selaras dengan tema global “Drive Beautifully”.
Pengumuman harga bagi dua model jenama Itali itu dijangka akan diumumkan pada Januari tahun hadapan.
Pengarah Eksekutif DLSB Partners Sdn. Bhd., Datuk Douglas Cheng berkata, rakyat Malaysia mempunyai hubungan istimewa dengan Alfa Romeo dan pelancaran semula ini dijangka mengembalikan minat serta keyakinan terhadap jenama ikonik tersebut.
“Bagi peminat Alfa Romeo, kenderaan ini bukan sekadar pengangkutan tetapi suatu ekspresi gaya dan personaliti.
“Kami berbesar hati menghidupkan semula ikatan itu dan Alfa Romeo hanyalah permulaan sebelum lebih banyak jenama menarik dibawa masuk,” katanya pada majlis pelancaran dua model baharu jenama itali itu ke pasaran Malaysia.
Sementara itu, Pengarah Urusan Stellantis ASEAN, Isaac Yeo berkata, kemunculan semula jenama itu di Malaysia bukan sekadar kebangkitan sebuah jenama, tetapi penyalaan semula emosi dan jiwa dalam dunia pemanduan.
“Selama puluhan tahun, Alfa Romeo telah memikat hati kita dengan semangat, ketahanan dan warisan yang mendalam nilai-nilai yang menyatukan kereta serta pemandunya.
“Bersama rakan kongsi kami, DLSB, kami teruja untuk mengembangkan komuniti ‘Alfisti’, serta meraikan hubungan unik antara pemandu dan mesin,” ujarnya.
Pelancaran Giulia dan Stelvio Veloce juga menandakan usaha Alfa Romeo untuk menempatkan semula jenama itu dalam segmen sedan sport premium dan kenderaan utiliti sukan (SUV) prestasi tinggi.
Sempena pelancaran, Alfa Romeo Malaysia turut memperkenalkan rangkaian program eksklusif iaitu La Bella Vita yang merupakan acara gaya hidup bertemakan pengalaman premium dan jelajah destinasi termasuk Museo Alfa Romeo.
Ia turut merangkumi Speed Dating iaitu pengalaman pemanduan litar yang memberi peluang pemilik merasai dinamisme sebenar rangkaian model Alfa Romeo, serta Alfa Concierge atau bantuan peribadi untuk pemilik baharu dalam semua aspek penjagaan kenderaan.
Bagi menghargai pemilik sedia ada serta Alfa Romeo Owners Club (ditubuhkan sejak 1993), program ‘Famiglia Alfa Romeo’ menyediakan sokongan khas termasuk alat ganti tulen, juruteknik bertauliah dan bantuan tepi jalan.
Alfa Romeo Malaysia turut mengumumkan penyertaan sebagai penaja utama ITF World Tennis Tour M15, menandakan komitmen jangka panjang dalam aktiviti sukan dan gaya hidup di Malaysia. – UTUSAN










