KUALA LUMPUR: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan agar semua pihak memberi ruang kepada proses siasatan dan keputusan berhubung isu hukuman dikenakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan.
Baginda yang juga mantan Presiden FAM menegaskan, penting untuk semua pihak menghormati proses yang sedang berjalan dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berwajib untuk menzahirkan kebenaran.
“Saya rasa tidak perlu untuk saya mengulas kerana ramai sudah memberi pandangan. Untuk lebih adil, biarlah proses ini berjalan seperti sepatutnya. Biar kebenaran didedahkan dan datang daripada pihak-pihak yang bertanggungjawab,” titah baginda ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Walk With King Of Sport di Stadium Merdeka, sebentar tadi.

Keberangkatan baginda ke majlis berkenaan diiringi Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, yang turut menyertai lebih 150 tetamu jemputan termasuk legenda-legenda sukan tanah air.
Antara tokoh yang hadir ialah Datuk Santokh Singh dan Datuk Soh Chin Ann (bola sepak), Datuk Rashid Sidek serta Datuk James Selvaraj (badminton), Nor Saiful Zaini Nasiruddin (hoki), G. Shanti (olahraga) dan Datuk Leong Mun Yee (terjun). Acara itu dianjurkan oleh ShekhinahPR dengan kerjasama Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) bagi meraikan warisan sukan negara dan menggalakkan gaya hidup sihat.
Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah bertitah bahawa apa yang berlaku wajar dijadikan pengajaran berharga agar kesilapan sama tidak berulang pada masa hadapan.
“Sudah tentu perkara ini perlu menjadi ingatan kepada semua. Kita mesti membetulkan keadaan demi kebaikan bola sepak negara. Ini bukan masa untuk menuding jari, sebaliknya kita perlu bangkit daripada masalah dengan semangat baharu,” titah baginda.
Baginda turut menzahirkan harapan agar seluruh komuniti bola sepak termasuk FAM, kelab dan penyokong kekal bersatu memperkukuh semula kepercayaan terhadap sukan No.1 negara itu.-UTUSAN










