PETALING JAYA: Sebanyak 24,907 mangsa banjir dicatatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara membabitkan 8,308 keluarga, dengan 142 PPS beroperasi di 26 daerah.
Menurut laporan situasi terkini Pusat Pengurusan Bencana Negara setakat pukul 6 pagi, lapan negeri kini terjejas adalah Kelantan, Perlis, Perak, Selangor, Kedah, Terengganu, Pulau Pinang dan Pahang, dengan trend keseluruhan menunjukkan peningkatan berterusan jumlah mangsa, khususnya di kawasan utara dan Pantai Timur.
Setakat ini, Kelantan kekal negeri paling teruk terjejas dengan 9,525 mangsa dan 40 PPS beroperasi di Tumpat, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh.
Sementara itu, Tumpat merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 4,913 orang, walaupun dilaporkan trend menurun di kawasan itu. Namun Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh mencatatkan peningkatan jumlah mangsa.
Di Perlis pula, sebanyak 5,968 mangsa ditempatkan di 18 PPS negeri itu, dengan jumlah terus meningkat. Beberapa jalan di Kangar, Padang Besar, Mata Ayer dan kawasan lain kekal ditutup sepenuhnya atau sebahagiannya akibat banjir atau tanah runtuh.
Di Perak, 4,184 mangsa ditempatkan di 42 PPS, dengan trend meningkat di Manjung, Hilir Perak, Bagan Datuk dan beberapa daerah lain.
Manjung merekodkan 1,705 mangsa, dengan beberapa jalan ditutup akibat tanah runtuh dan banjir kilat.
Selangor merekodkan 2,964 mangsa di 21 PPS, terutamanya di Kuala Selangor, Klang, Petaling dan Sabak Bernam. Walaupun trend keseluruhan stabil, beberapa laluan termasuk sebahagian Jalan Robinson, Jalan Harmoni dan Persiaran Puncak Alam ditutup sementara akibat banjir.
Kedah mencatat 2,043 mangsa, kebanyakannya di Kubang Pasu dengan semua 12 PPS aktif.
Terengganu merekodkan 131 mangsa, majoritinya di Besut dan Marang, dengan trend meningkat di Besut.
Di Pulau Pinang, Seberang Perai Tengah merekodkan 50 mangsa, manakala Pahang mencatat 42 mangsa di Raub dan Lipis.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan beberapa amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang termasuk di perairan Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Johor Timur, Pahang, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.
Beberapa kawasan di Kelantan, Terengganu, Perak dan Pahang berada di bawah amaran hujan berterusan, dengan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh di Kelantan diletakkan di bawah kategori tertinggi (Hujan Sangat Lebat Berterusan, Bahaya).
Data pemantauan sungai menunjukkan paras air meningkat di beberapa sungai utama di Kelantan (Sg Semerak, Sg Golok, Sg Kelantan) dan Johor (Sg Batu Pahat). Perlis dan Terengganu turut menunjukkan keadaan bercampur, dengan beberapa stesen merekodkan peningkatan. – UTUSAN










