SHAH ALAM: Pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah menegaskan rakan senegaranya, Mohd Zaqhwan Zaidi perlu mengubah sikap dan menilai semula pendekatannya di litar selepas insiden pelanggaran pada Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Sepang, Ahad lalu.
Menurut Hafizh, insiden di selekoh sembilan itu bukan sahaja memusnahkan peluangnya memburu kemenangan berganda di laman sendiri, malah meranapkan impian podium penuh Malaysia apabila tiga pelumba tempatan sedang mendahului saingan.
“Memang kecewa, sebab ketika itu kami berada di kedudukan 1-2-3 untuk Malaysia. Tapi cara dia cuba memintas saya sangat tidak profesional, sedangkan dia antara pelumba paling berpengalaman,” katanya ketika ditemui pada satu sidang media di Shah Alam, semalam.
Hafizh berkata, tindakan pelumba Idemitsu Honda Racing Malaysia itu terlalu agresif apabila datang dari luar garisan dan gagal mengawal jentera, sekali gus menyebabkan kedua-duanya terjatuh.
“Saya dah tekan brek dengan betul dan kawal kemasukan selekoh, tapi dia datang terlalu laju dari sudut luar. Bila tengok semula rakaman, memang jelas dia keluar dari kawalan,” katanya.
Tambah bekas pelumba MotoGP itu, kejadian berkenaan bukan kali pertama melibatkan Zaqhwan dan dia berharap perkara sama tidak berulang demi menjaga nama baik sukan permotoran negara.
“Saya boleh maafkan, tapi insiden macam ni bukan kali pertama. Kita semua bawa bendera sama, jadi kena ada semangat kesukanan. Jangan sampai tindakan kita mencalarkan imej sukan sendiri,” ujarnya.
Hafizh turut mendedahkan Zaqhwan ada berhasrat untuk menemuinya selepas kejadian, namun ketika itu beliau enggan berbincang kerana masih dibayangi rasa kecewa.
“Dia nak jumpa, tapi saya memang tak bersedia sebab marah dan kecewa. Sekarang saya dah tenang, tapi harap dia ambil iktibar,” katanya.
Meskipun duka di Sepang masih bersisa, Hafizh menegaskan fokus kini terarah ke pusingan penutup di Buriram, Thailand, Disember ini, selain mahu terus memburu kejayaan bersama Ducati.
“Saya tak simpan dendam, kejuaraan masih terbuka. Saya akan terus kerja keras dan pastikan kita bangkit di Buriram,” katanya dengan nada optimis. – UTUSAN