KOTA BELUD: Seorang warga emas lelaki yang dilaporkan hilang sejak semalam ditemukan meninggal dunia di tepi sungai berhampiran Kampung Sogo Narinang, di sini, pagi tadi.
Mangsa, Sami Biu, 92 tahun dipercayai keluar ke kebun miliknya pada pukul 8 pagi semalam.
Bagaimanapun sehingga pukul 5 petang, mangsa disedari masih belum pulang sebelum ahli keluarganya bertindak menghubungi pihak bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang masuk hari kedua hari ini digerakkan pukul 7.07 pagi dengan kekuatan tujuh anggota dengan dibantu pihak polis.
“Mangsa ditemui orang kampung di tepi sungai kira-kira 19 kilometer dari rumahnya dan disahkan meninggal dunia.
“Mangsa kemudian diangkat oleh anggota bomba dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pukul 8.54 pagi. – UTUSAN