Trump, Anwar dijadual adakan mesyuarat dua hala Ahad

Trump, Anwar dijadual adakan mesyuarat dua hala Ahad

Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Donald Trump
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menghadiri majlis menandatangani perjanjian sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan serta mengadakan mesyuarat dua hala, Ahad ini.

Berdasarkan jadual tentatif yang disiarkan di laman web America’s Roll Call, Trump dijangka tiba di ibu negara pada pagi Ahad sebelum mengadakan pertemuan rasmi dengan Anwar pada sebelah petang di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Kemudian, Presiden AS itu dijangka menyertai majlis menandatangani perjanjian bersama Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul membabitkan penyelesaian pertikaian sempadan antara kedua-dua negara Asia Tenggara berkenaan.

Menurut jadual berkenaan, Trump menamatkan lawatannya dengan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-13 serta jamuan makan malam rasmi bersama pemimpin ASEAN.

Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan, Trump akan berlepas ke Tokyo pada Isnin untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi sebelum meneruskan perjalanan ke Busan, Korea Selatan bagi menghadiri Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC).

Sementara itu, Duta Besar AS ke Malaysia, Edgard D. Kagan berkata, beberapa isu utama dijangka menjadi tumpuan semasa lawatan Trump ke Malaysia termasuk tarif semikonduktor, perdagangan, pelaburan, keselamatan dan kestabilan serantau.

Lawatan ini merupakan kunjungan pertama Trump ke Asia sejak memulakan penggal keduanya sebagai presiden selain menjadi lawatan rasmi pertama presiden AS ke Malaysia sejak kunjungan Barack Obama kira-kira sedekad lalu.

Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini dengan tema Keterangkuman dan Kemampananakan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bermula 26 hingga 28 Oktober.

Acara berprestij itu akan menghimpunkan pemimpin tertinggi daripada 10 negara anggota ASEAN bersama rakan dialog utama termasuk AS, China, Jepun, Korea Selatan dan India.

Selain Trump, antara lebih 20 pemimpin dunia yang dijadual hadir ialah Perdana Menteri China, Li Qiang; Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva; Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa; Presiden Majlis Eropah, Antonio Costa; serta Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN