ROM: Bekas atlet olahraga Itali, Giacomo Tortu digantung tiga tahun selepas didapati bersalah mengintip juara Olimpik dua kali, Marcell Jacobs.
Giacomo yang juga abang kepada jaguh 4×100 meter (m) negara itu, Filippo Tortu didapati cuba mengakses data peribadi Jacobs dengan bantuan penyiasat persendirian.
Giacomo kini mengetuai kelab Milan Raptors, dikatakan mahu mendapatkan bukti untuk menuduh Jacobs terbabit dalam penggunaan bahan terlarang.
Persekutuan Olahraga Itali (FIDAL) dalam kenyataannya menjelaskan, Tortu menerima dua bentuk penggantungan iaitu 30 bulan pertama kerana melanggar prinsip kesetiaan, integriti dan disiplin dalam sukan.
Tambahan enam bulan lagi dikenakan selepas dia didapati melakukan kesalahan dengan niat untuk menutup atau mendapat manfaat daripada kesalahan lain.
Bagaimanapun, FIDAL menegaskan bahawa Filippo tidak tahu-menahu langsung mengenai tindakan abangnya itu.
Filippo dan Jacobs pernah menjadi wira Itali apabila membantu pasukan 4x100m negara itu memenangi pingat emas bersejarah di Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas menewaskan Great Britain.
Empat hari sebelum itu, Jacobs mencipta kejutan apabila menjuarai acara 100m dengan catatan 9.80 saat (s), menewaskan bintang Amerika Syarikat (AS), Fred Kerley, dan pelari Kanada, Andre de Grasse.
Sejak itu, Jacobs terus menambah koleksi dengan gelaran juara Eropah 100m pada 2022 dan 2024 walaupun kerap dibelenggu kecederaan.
Bagaimanapun, prestasinya merosot apabila sekadar menduduki tempat kelima di Olimpik Paris 2024 dan gagal ke final di Kejohanan Dunia Tokyo 2025 baru-baru ini. – AGENSI