PETALING JAYA: Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani terus dirundung malang apabila tersingkir di pusingan kedua Terbuka Hylo di Saarbrucken, Jerman, hari ini.
Pasangan No. 4 dunia itu gagal menemui rentak permainan apabila tewas mudah 9-21, 19-21 kepada gandingan Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestegaard dalam tempoh hanya 32 minit.
Kekalahan itu menyambung episod duka buat DinFei yang dilihat bergelut dengan isu konsistensi sejak muncul naib juara Terbuka Jepun, Julai lalu.
Sejak itu, mereka kerap kecundang di pusingan awal hingga menyaksikan ranking dunia mereka tergelincir daripada kedudukan No. 1 dunia pada Jun lalu.
Namun sinar cerah hadir menerusi beregu wanita negara, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing yang mengesahkan slot ke suku akhir selepas mengharungi aksi penuh dramatik.
Pasangan No. 22 dunia itu bermandi peluh hampir sejam sebelum menewaskan gandingan Taiwan, Teng Chun Hsun-Yang Chu Yun 9-21, 23-21, 21-16 dalam pertarungan tiga set mendebarkan.
Kemenangan itu lebih manis buat Pei Kee yang beraksi cemerlang biarpun masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan buku lali yang memaksanya menarik diri di Terbuka Perancis minggu lalu.
Mereka dijangka berdepan laluan lebih mudah ke separuh akhir apabila menanti pemenang antara beregu Kanada, Catherine Choi-Crystal Lai dan gandingan Turkiye, Bengisu Ercetin-Nazlican Inci esok. – UTUSAN










